fbpx
Nasional

Tuduhan mencabul: Anwar sedia beri keterangan segera

KUALA LUMPUR – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaannya untuk tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan polis terhadap dakwaan mencabul bekas penolong penyelidiknya, Muhammad Yusof Rawther.

Suami Timbalan Perdana Menteri itu turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana menyegerakan siasatan isu yang dianggap fitnah itu.

“Merujuk kepada dakwaan fitnah terbaharu terhadap saya, saya berterima kasih kepada pihak polis kerana telah menyegerakan siasatan mereka.

“Ingin saya tegaskan bahawa saya bersedia memberi keterangan kepada pihak polis dalam kadar segera untuk membantu siasatan,” kata Anwar dalam kenyataan hari ini.

Hari ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Komisioner Datuk Huzir Mohamed memberitahu, Unit Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) JSJ akan memanggil Anwar dan beberapa saksi lain untuk mengambil keterangan bagi melengkapkan siasatan.


Kata Huzair, mereka akan hadir pada sesi dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengikut tarikh temu janji yang sesuai.

“Kertas siasatan kes serta cadangan tindakan akan dirujuk kepada pejabat Peguam Negara berdasarkan dapatan hasil siasatan itu nanti,” kata Huzair dalam kenyataan hari ini

Muhammad Yusoff pada 7 Disember lalu telah membuat laporan polis serta menyerahkan Akuan Bersumpah SD bahawa beliau telah dicabul Anwar pada Oktober tahun lalu kepada polis di IPD Sentul.

Muhammad Yusoff kemudian tampil di Bukit Aman bersama peguamnya Datuk Mohammed Haniff Kathri Abdulla pada Isnin lalu untuk memberi keterangan berkaitan isu tersebut selama lapan jam.

Muhammad Yusoff sekali lagi tampil di Bukit Aman semalam untuk dirakam keterangan selama tiga jam.

Siasatan kes tersebut dibuat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan. Seksyen tersebut adalah mengenai kesalahan “menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada mana-mana orang, dengan maksud hendak mencabul atau dengan mengetahui mungkin bahawa dia akan dengan jalan demikian itu mencabul kehormatan orang itu”.

Jika disabitkan kesalahan pelakunya “hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai sepuluh tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu”. – SM

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button