Kemalangan

Tiga cedera kemalangan tiga lori di KM186.9 arah Selatan

Tiga individu cedera apabila tiga buah lori terlibat dalam kemalangan di KM 186.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah Selatan pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil berkata, mereka yang cedera ialah pemandu lori muatan wayar kabel, Mohmed Faizruz Mohmed Hussin, 47, pemandu lori muatan barang PA System, Ng Chin Kiang, 52, dan kelindannya, Muhammad Niza Abu Seman, 30.

Menurutnya, seorang lagi pemandu lori muatan barang Tasco Berhad, Nurul Azlan Mohd Azman, 37, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, kesemua mangsa kini menerima rawatan lanjut di Hospital Jasin.

Ujarnya, dalam kejadian pukul 7.08 pagi itu melibatkan tiga buah lori yang datang dari Kuala Lumpur menuju ke Johor.

“Siasatan awal mendapati lori jenis Isuzu berwarna hijau dipandu Mohmed Faizruz telah melanggar belakang sebuah lori hingga menyebabkan muatan gelong wayar kabel terjatuh di tengah jalan raya.

“Kebetulan lalu sebuah lori Hino berwarna putih dengan muatan barang PA System telah melangar wayar kabel manakala lori jenis Volvo berwarna putih dengan muatan barang Kilang Tasco Berhad melanggar bucu bahagian lori jenis Hino,” ujarnya di sini hari ini.

Ahmad berkata, kesemua mangsa yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Jasin dan tidak berlaku kesesakan teruk apabila kesemua lori terlibat telah dialihkan ke tepi jalan.

Katanya, satu lorong di sebelah kiri telah ditutup manakala lorong sebelah kanan dibuka untuk melancarkan laluan kenderaan lain.

Jelasnya, aliran trafik bergerak perlahan dengan jarak kesesakan sepanjang 5 kilometer (km).

Kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai hingga menyebabkan kemalangan. – SM

 

(Visited 23 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button