Kemalanganpilihan

Akibat Kecuaian Orang Lain, Lima Sekeluarga Maut Dekat Hentian Titiwangsa, Gerik

Lima sekeluarga yang maut dekat Hentian Titiwangsa, di Kilometer 62, Jalan Raya Timur-Barat semalam, dikatakan dalam perjalanan pulang dari Kelantan ke Pulau Pinang selepas menghantar ahli keluarga terdekat masuk ke sekolah pengajian pondok.

Anak sulung kepada dua mangsa nahas itu, Muhammad Firdaus Mohd Rodhi, 35, berkata pemergian lima sekeluarga itu ke Kelantan bagi menghantar adiknya yang berusia 29 tahun memasuki sekolah pondok di Pasir Tumboh, Kelantan.

Bagaimanapun, beliau berkata, ahli keluarganya itu mahu pulang segera ke Pulau Pinang semalam, selepas arwah ibunya dimaklumkan berhubung kematian ahli keluarga yang lain.

“Semua mangsa yang maut iaitu ibu, bapa, adik perempuan, adik ipar dan anak saudara saya sepatutnya pulang hari ini ke Pulau Pinang, namun dipercepatkan sehari awal selepas arwah ibu dimaklumkan bapa mentua kepada adik ibu meninggal dunia serta akan dikebumikan di Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang, malam tadi.

“Saya sempat membuat panggilan video dengan ibu pada jam 2 petang semalam memaklumkan ada kematian di Pulau Pinang, justeru mereka yang sepatutnya pulang hari ini terpaksa balik cepat semalam selepas menghantar adik.


“Malangnya, niat ibu menziarahi ahli keluarga yang meninggal itu tidak kesampaian, malah kami kehilangan lima ahli keluarga sekali gus yang maut dalam kemalangan itu,” katanya kepada media di Unit Forensik Hospital Gerik, di sini, hari ini.

Dalam nahas itu, mangsa maut dikenal pasti sebagai Ahmad Khomaini Baba, 32; Siti Aishah Mohd Rodhi, 32; Mohd Rodhi Othman, 64; Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59; dan Zara Hana Ahmad Khomaini, 6.

Jenazah lima sekeluarga itu akan dikebumikan dalam dua liang berasingan di kampung halaman Mohd Rodhi di Kampung Permatang, Sungai Dua, Butterworh, Pulau Pinang.

Muhammad Firdaus berkata, ibunya menunjukkan sedikit kelainan apabila berpelukan dengannya pada pagi kelmarin sebelum bertolak ke Kelantan, selain memaklumkan berasa tidak bermaya kerana sakit dada.

“Ibu juga berpesan supaya menjaga ikan peliharaannya sepanjang pemergiannya ke Kelantan dan pada pagi kelmarin, pelik sedikit sebab sempat berpelukan dan berkucupan dengannya,” katanya.

Sementara itu, adiknya, Muhammad Naim, 26, berkata kali terakhir beliau bertemu ibu bapanya kira-kira sebulan lalu ketika menghadiri istiadat konvokesyen sebuah universiti awam di Shah Alam, tetapi tiada perubahan sikap ditonjolkan mereka berdua.

Terdahulu, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Gerik ke Jeli, Kelantan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Akibatnya, kenderaan itu melanggar Perodua Alza dinaiki semua mangsa mengakibatkan mereka meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mangsa berasal dari Sungai Petani dan Lunas, Kedah, manakala pemandu serta tiga penumpang Toyota Hilux yang berasal dari Tumpat, Kelantan mengalami cedera serta dirawat di Hospital Jeli,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat lima mangsa sudah dihantar ke Hospital Gerik di sini untuk bedah siasat dan akan dihantar ke Sungai Petani, Kedah untuk pengebumian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

(Visited 88 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button