Nasional

Tidak benar dakwaan lebih 200 sekolah agama di Selangor diarah tutup

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menafikan dakwaan kononnya lebih 200 sekolah agama di Selangor diarah tutup.

Beliau berkata, isu yang tular itu tidak berasas dan tuduhan berkenaan dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, satu garis panduan pemutihan telah dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2021 bertujuan memastikan keselamatan dan kebajikan para pelajar serta seluruh warga institusi tahfiz persendirian.

“Ia ekoran kejadian insiden kebakaran sehingga melibatkan kemalangan jiwa di sekolah agama persendirian di Kuala Lumpur pada 2017,” katanya menerusi hantaran video di Facebook, hari ini.

Mohd Na’im menjelaskan, pada masa sama, penguatkuasaan garis panduan tersebut telah mendapat kerjasama daripada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai 478 institusi Sekolah Agama Persendirian.

Tambah beliau, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dimaklumkan sejak 2021 bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui kerajaan negeri telah menetapkan pihak sekolah perlu memenuhi syarat pendaftaran menerusi garis panduan pemutihan yang dikeluarkan.

Terdahulu, Pengerusi Sekretariat NGO berkenaan, Datuk Nazilah Idris memaklumkan, lebih 200 sekolah agama rakyat dinafikan apabila diberikan surat amaran untuk keluar daripada premis perniagaan yang disewa. – SM

BACA Gaya hidup sihat beri impak positif kepada negara – Mohd Na’im

(Visited 73 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button