fbpx
Nasional

Curi kereta polis sebab mahu menunjuk pada teman wanita

Polis menahan dua beradik dan seorang wanita yang dipercayai terlibat melarikan sebuah kereta peronda (MPV) model Honda Civic 1.8S milik pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), di sini malam tadi, selepas kenderaan itu ditemui di Shah Alam, Selangor, awal pagi ini.

Menurut sumber kejadian berlaku sekitar pukul 9.15 malam apabila dua lelaki yang merupakan adik beradik berumur 28 dan 32 tahun datang ke bahagian kenderaan dan mendakwa kononnya mereka adalah anggota polis dari bahagian Sumber Teknologi Maklumat yang mahu membuat pemeriksaan ke atas kamera (dashcam) yang terdapat dalam MPV itu.

“Kejadian berlaku sangat pantas, dan suspek terus memecut kereta MPV keluar daripada perkarangan IPD SPU berkenaan sebelum penyelia bahagian kenderaan itu sempat berbuat apa-apa, dan dia juga tidak mengesyaki apa-apa,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Katanya penyelia itu (anggota polis berpangkat sarjan), hanya menyedari kenderaan MPV dilarikan selepas setengah jam kemudian apabila suspek tidak kembali semula ke IPD, dan kenderaan itu juga gagal dihubungi.

Kenderaan itu kemudiannnya di kesan di Shah Alam, Selangor, beberapa jam kemudian, dan polis berjaya menahan seorang suspek lelaki serta seorang wanita berusia 20-an dipercayai teman wanitanya yang berada di dalam kenderaan berkenaan.


Susulan penahan itu, polis turut menahan seorang lagi lelaki, iaitu adik kepada suspek pertama di Tasek Gelugor awal pagi ini.

“Siasatan mendapati suspek mulanya mengambil teman wanitanya di Tasek Gelugor, dan pasangan kekasih berkenaan dipercayai cuba menyamun sebuah kedai runcit sebelum memandu ke Shah Alam, difahamkan dia bertindak sedemikian (curi kenderaan) kerana mahu menunjuk kepada teman wanitanya,” katanya.

Menurutnya siasatan polis juga mendapati suspek utama itu pernah ditahan pada 15 Okt lalu kerana mencuri kabel elektrik malah dia dan adiknya mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

Beliau berkata adik beradik itu juga merupakan penagih dadah tegar dan siasatan awal turut mendapati yang suspek utama yang melarikan MPV berkenaan mempunyai masalah mental.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan pihaknya masih menjalankan siasatan Seksyen 379A dan 170 Kanun Keseksaan. -SM

Show More

Related Articles

Back to top button