NasionalPolitik

DAP ulangi tuntutan pilihan raya PBT dalam resolusi

DAP hari ini mengulangi tuntutan untuk mengembalikan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan menjadikannya antara lapan resolusi yang diluluskan pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019 yang berlangsung hari ini.

Kesemua lapan resolusi itu diluluskan sebulat suara oleh 107 anggota perwakilan yang hadir. Ia diumumkan oleh speaker Wong Shu Qi.

Pilihan raya PBT itu dituntut bagi membolehkan demokrasi diamalkan di peringkat akar umbi dan memastikan akauntabiliti PBT kepada rakyat.

Resolusi lain ialah menggesa Kerajaan Persekutuan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya lebih serius menangani masalah banjir kilat yang masih berlaku di Kuala Lumpur. DBKL perlu menaik taraf sistem perparitan di kawasan yang kerap dilanda banjir kilat.

Turut diluluskan ialah menuntut Kerajaan Persekutuan agar menyegerakan usaha menyediakan perkhidmatan awam yang baik, cekap dan bermutu di seluruh negara, khususnya di kawasan Kuala Lumpur bagi kepentingan rakyat Malaysia.

Selain itu, perwakilan menggesa Kerajaan Persekutuan terutamanya Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Dalam Negeri bertindak tegas terhadap pihak yang menyebarkan berita dan maklumat palsu, khususnya yang membangkitkan api perkauman serta keagamaan yang sempit kerana ia boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Perwakilan turut bersetuju mengutuk perbuatan pihak rasis, termasuk parti pembangkang yang membakar api perkauman melalui ucapan, kenyataan dan sebaran media sosial kerana ia jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan serta menjejaskan keharmonian antara kaum.

Resolusi yang diluluskan termasuk menyokong kepimpinan Jawatankuasa Tertinggi Parti (CEC) DAP untuk menangani isu sensitif serta melawan musuh politik yang membakar api perkauman untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Resolusi itu juga meminta Kerajaan Persekutuan memansuhkan atau meminda semua undang-undang zalim dan peruntukan yang zalim seperti mana yang telah dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan 2018.

Resolusi lain ialah kerajaan Persekutuan perlu menunaikan janji dalam manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum 2018, terutamanya janji untuk meningkatkan taraf hidup rakyat serta mengurangkan beban perbelanjaan keluarga, bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan.

Konvensyen berkenaan dirasmikan Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng. Turut hadir Pengerusi Kebangsaan DAP dan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Tan Kok Wai, Menteri Industri Utama Teresa Kok dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh. – BERNAMA

(Visited 328 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button