Politik

Peruntukan sedia taska dialih ke Penjana

ANTARA faktor pasukan ‘frontliners’ berhadapan kesukaran menguruskan anak ketika bertugas adalah disebabkan masalah penutupan pusat asuhan kanak-kanak atau taska.

Masalah sedemikian timbul apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pengisytiharan zon merah menyebabkan pengusaha taska mengambil keputusan menutup sementara.

Oleh demikian, masalah timbul dalam kalangan petugas barisan hadapan yang terpaksa mengambil cuti atau mencari alternatif lain bagi menguruskan anak mereka untuk bertugas.

Masalah tersebut sepatutnya diselesaikan menerusi peruntukan yang dimasukkan dalam Belanjawan 2020 sebanyak RM30 juta.

Bagaimanapun, selepas berlaku pertukaran kerajaan peruntukan tersebut didakwa disalurkan kepada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

“Realitinya hari ini, masih terdapat ramai ‘frontliners’ yang tidak mempunyai sokongan penjagaan anak.

“Ada yang terpaksa mengambil cuti atau menghantar anak ke rumah pengasuh atau taska swasta. Ini melibatkan kos yang lebih tinggi kerana kerja syif yang tidak menentu.

“Daripada audit yang dilakukan pada Julai 2018, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mendapati 541 buah agensi kerajaan termasuk agensi kerajaan negeri tidak mempunyai taska di tempat kerja.

“Menerusi Belanjawan 2019, Kerajaan Harapan memperuntukkan RM10 juta bagi menubuhkan 50 buah taska di tempat kerja baharu di agensi kerajaan.

“Sebanyak 65 buah taska berjaya ditubuhkan di seluruh negara.

“Manakala dalam Belanjawan 2020, Kementerian Kewangan pada masa itu memperuntukkan sebanyak RM30 juta, iaitu peningkatan sebanyak 3 kali ganda berbanding tahun 2019.

“Bagaimanapun hanya RM5.5 juta dibelanjakan untuk penubuhan 34 buah taska di tempat kerja.

“Peningkatan sebanyak RM30 juta itu sepatutnya dapat menyediakan sekurang-kurangnya 200 buah taska di tempat kerja di agensi kerajaan.

“Namun, baki sebanyak RM24.5 juta tersebut telah disalurkan untuk tujuan lain iaitu Penjana (termasuk bantuan khas taska swasta).”

Demikian dakwaan dibuat bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengutarakan masalah pengurusan anak dalam kalangan kakitangan frontliners yang bekerja dalam jadual tugasan bukan waktu pejabat.

Justeru, Hannah mendesak supaya peruntukan RM30 juta itu dikembalikan untuk menubuhkan lebih banyak taska bagi membantu mereka.

“Saya menggesa Menteri KPWKM mengembalikan RM30 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 kepada tujuan asalnya.

“Terutamanya di hospital, balai polis dan agensi Kerajaan yang beroperasi secara syif. Belanjawan 2021 mesti menjadikan ini satu keutamaan,” gesanya. – SM

(Visited 165 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button