Nasionalpilihan

Tiada keputusan gantung jurulatih – VP Shanmugam

Keputusan untuk menggantung jurulatih skuad bola tampar wanita bawah 14 tahun (B14) yang didakwa menampar dua pemainnya hanya akan diputuskan oleh Persatuan Bola Sepak Tampar Malaysia (MAVA) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam tempoh terdekat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, VP Shanmugam berkata, kerajaan negeri tidak boleh campur tangan dan menyerahkan keputusan tersebut perlu diputuskan oleh MAVA dan KPM yang perlu menyiasat dengan terperinci video yang tular berkaitan insiden tersebut pada 16 Disember lalu.

Menurutnya, walaupun jurulatih terbabit telah memohon maaf kepada kedua-dua ibu bapa pelajar terbabit namun insiden yang terjadi ketika Kejohanan Remaja B-14 di Kota Tinggi, Johor dianggap serius hingga menjadi isu kebangsaan.

“Kedudukan jurulatih berusia 44 tahun itu terbahagi kepada tiga perkara iaitu siasatan oleh kerajaan negeri, siasatan oleh KPM kerana dia masih berkhidmat di Jabatan Pendidikan Malaysia dan Unit Integriti mereka akan membuat siasatan lanjut.

“MAVA sepatutnya mengambil sepenuhnya kes ini memandangkan penularan video tersebut menjadi perhatian semua pihak di peringkat kebangsaan.


“Justeru sebarang tindakan atau hukuman yang akan diambil kini bergantung kepada siasatan daripada MAVA dan KPM untuk membuat keputusan yang setimpal,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan insiden tersebut di Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM) di Krubong di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Presiden MAVA, Hean Boon Yeow serta jurulatih dan ibu bapa dua remaja perempuan yang terlibat dalam insiden berkenaan.

Mengulas lanjut Shanmugam berkata, hasil mesyuarat khas yang diadakan itu turut mengesyorkan jurulatih itu perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umum serta ibu bapa dan sijil
latihan jurulatih itu perlu digantung untuk tempoh setahun atau dua tahun.

Sehubungan itu beliau turut meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video yang tular itu kerana ia menjejaskan kedua-dua pemain B14 yang kini sedang membuat persiapan menghadapi satu lagi kejohanan tidak lama lagi.

Jelasnya, ibu bapa kedua-dua pemain terbabit telah memaafkan jurulatih terbabit namun penularan video tersebut telah menyinggung perasaan mereka serta meminta semua pihak menghentikannya.

Katanya, ibu bapa pada peringkat awal lagi telah pun memaafkan jurulatih ini, tetapi oleh kerana video berkenaan menjadi tular mereka mengakui perasaan mereka tersinggung dan mohon semua pihak tidak lagi memperbesarkan isu tersebut. – SM

(Visited 33 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button