Nasionalpilihan

Tiada bangkai unggas termasuk bulu burung ditemui

Nahas pesawat Beechcraft Premier 1

Tiada sisa atau bangkai unggas termasuk bulu burung tidak ditemui pada struktur pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina pada 17 Ogos lalu.

Perkara tersebut dinyatakan dalam laporan awal setebal 26 muka surat tragedi nahas pesawat yang telah mengorbankan 10 nyawa yang telah dimuat naik di laman rasmi Kementerian Pengangkutan hari ini.

Laporan itu juga turut menyebut pesawat Beechcraft 390 disahkan mempunyai sijil kelayakan dan diselenggara dengan baik.

Kedua-dua juruterbang yang terkorban juga disahkan mendapat rehat yang cukup sebelum penerbangan dan tidak mempunyai masalah perubatan serius, hasil sejarah kesihatan dan pemeriksaan fizikal.

Laporan itu menyatakan, pesawat yang terbakar sebelum terhempas disebabkan berlakunya magnitud daya nyahpecutan dan kebakaran selepas kemalangan.

“Tiada bukti ketidaupayaan atau faktor fisiologi yang menjejaskan prestasi kru penerbangan. PIC dilesenkan dan layak untuk penerbangan mengikut peraturan sedia ada,” menurut laporan itu lagi.

Sementara itu Kementerian Pengangkutan memaklumkan laporan akhir nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 di Elmina, Selangor akan selesai selewat-lewatnya pada Ogos 2024.

Jelasnya, perkara tersebut selaras dengan Annex 13 Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang memperuntukkan tempoh 12 bulan dari kemalangan tersebut untuk melengkapkan dokumen tersebut.

Menurut kementerian lagi, pihaknya telah menerima laporan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) nahas itu bagi memenuhi standard Annex 13 kepada Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO Annex 13) yang memerlukan penyediaan laporan awal dalam tempoh 30 hari daripada insiden tersebut.

“Laporan awal ini harus dianggap sebagai tentatif dan boleh diubah atau diperbetulkan jika terdapat maklumat dan bukti tambahan,” kata kementerian dalam kenyataan hari ini.

Negara dikejutkan dengan insiden pesawat ringan jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Selangor dan mengorbankan 10 individu termasuk dua orang awam iaitu pemandu kereta dan penunggang motosikal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun adalah antara individu disahkan maut di samping dua juruterbang dan enam penumpang dalam kejadian itu yang berlaku pada pukul 2.48 petang.

Pesawat itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sebelum terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam. – SM

 

(Visited 206 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button