fbpx
Nasional

TH untung: Siapa kata saya lelong aset TH?

KEJAYAAN Lembaga Tabung Haji (TH) meraih pendapatan pelaburan sebanyak RM1.55 bilion dalam tempoh separuh pertama tahun pertama tahun ini turut mengembirkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Menurut Naib Presiden Amanah itu, ketika beliau mengambil alih tugasan itu pada hujung 2018 TH mengalami defisit berjumlah RM10 bilion.

Justeru beliau mempersoalkan pihak yang menuduh dirinya telah melelong aset pengurusan dana jemaah haji itu

“2018 saya ambil alih defisit RM10 bilion, hujung 2018 hasil pakej pemulihan tutup defisit dengan lebihan RM1 bilion, mampu bayar hibah 1.25 peratus, 2019 lebihan RM2.3 bilion bayar hibah 3.05 peratus.

“First half 2020 lebihan RM1.86 bilion, Insya-Allah hibah lebih baik. Sapa kata saya lelong aset TH??” kata Mujahid di Twitternya.


Sebelum ini bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan surat perlucutan hak terhadap pembelian semula aset TH.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendedahan surat tersebut amat mengejutkan.

Menurut Asyraf Wajdi, surat rasmi TH bertarikh 3 Disember 2019 itu mendedahkan Menteri bertanggungjawab iaitu Mujahid telah meluluskan pengecualian hak penolakan pertama bagi 18 aset hartanah TH yang dipindahkan ke UJSB.

“Dengan bahasa mudah, Dr Mujahid selaku Menteri pada waktu itu telah menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Tabung Haji 1995 untuk melepaskan hak TH membeli semula aset hartanah bagi membolehkan semua aset TH tersebut dilelong kepada pihak luar.

“Jika ini benar-benar dilaksanakan, aset-aset hartanah TH termasuk hotel-hotel TH di beberapa lokasi strategik seluruh negara bahkan punya prospek keuntungan tinggi akan hilang buat selama-lamanya daripada pegangan TH.

“Untuk makluman Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjual aset-aset milik TH kepada UJSB berjumlah hampir RM10 bilion dengan harga RM19.9 billion, atas dakwaan TH mengalami defisit aset berbanding liabiliti berjumlah RM4.1 bilion di bawah program penstrukturan semula aset TH,” katanya dalam satu kenyataan pada 18 Jun lalu.

Asyraf Wajdi mendakwa, pendedahan surat itu menunjukkan Dr Mujahid tidak berkata benar apabila membuat kenyataan pada 24 Januari 2020 bahawa tiada campur tangan dalam urusan penjualan aset TH.

Semalam dalam satu kenyataan TH turut menyatakan, pelaburan aset pendapatan tetap menyumbang sebanyak RM1 bilion iaitu 65 peratus dari jumlah pendapatan pelaburan TH bagi tempoh Januari hingga 30 Jun 2020.

Menurut TH, pelaburan hartanah telah menjana pendapatan RM204.57 juta, manakala pelaburan instrumen pasaran wang Islam menyumbang sebanyak RM187.13 juta dan RM150.27 juta pula daripada pelaburan ekuiti.

“Peningkatan pendapatan ini telah menghasilkan keuntungan bersih sebanyak RM1.25 bilion berbanding RM849.66 juta pada tempoh enam bulan yang sama pada 2019.

“Jumlah aset TH juga melebihi liabiliti sebanyak RM1.86 bilion pada 30 Jun 2020,” kata kenyataan itu.-SM

 

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button