Ekonomi

Tetamu Airbnb belanja kira-kira RM7 bilion di Malaysia pada tahun 2022

Penyelidikan baharu daripada Oxford Economics mendedahkan bahawa Airbnb merupakan tonggak penting dalam industri pelancongan Malaysia dan memainkan peranan penting dalam sumbangan industri ini kepada Keluaran Dalam Negara Kasr (KDNK) dan pekerjaan.

Laporan itu, yang ditugaskan oleh Airbnb, mendedahkan bahawa tetamu Airbnb telah membelanjakan lebih kurang RM7 billion di Malaysia pada tahun 2022, merangkumi pembelian di restoran, kedai runcit dan pengangkutan. Aktiviti platform ini menyumbang lebih RM5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan menyokong hampir 57,000 pekerjaan pada tahun 2022.

Ini mewakili kira-kira 4.9 peratus daripada sumbangan industri pelancongan kepada KDNK pada tahun 2022.

Perbelanjaan tetamu Airbnb mempunyai kesan pengganda yang kuat dalam komuniti tempatan.

Sebahagian besar perbelanjaan tetamu Airbnb di Malaysia adalah di luar perbelanjaan penginapan mereka, dengan perbelanjaan untuk kategori bukan penginapan adalah lebih enam kali ganda daripada perbelanjaan tetamu Airbnb untuk penginapan.

Lima negeri dan wilayah Malaysia yang paling banyak mendapat manfaat daripada aktiviti Airbnb ialah Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Sabah.

Di Selangor khususnya, perbelanjaan tetamu Airbnb meningkat kepada kira-kira RM1 bilion pada tahun 2022, meningkat 85 peratus berbanding tahun 2019.

Laporan ini memperincikan sumbangan yang dibuat oleh tetamu Airbnb kepada pelancongan domestik di seluruh negara. Pada tahun 2022, sebahagian besar tetamu Airbnb yang menginap di Malaysia ialah pelancong domestik, yang membentuk 81% daripada jumlah tetamu di Malaysia, meningkat daripada 63 peratus pada tahun 2019.

Seiring dengan perkembangan perlancongan domestik, perbelanjaan tetamu domestik Airbnb pada tahun 2022* mencatat jumlah hampir RM4 bilion. Ini mewakili kira-kira 58 peratus daripada jumlah perbelanjaan tetamu Airbnb di Malaysia, meningkat daripada 35 peratus pada tahun 2019.

Laporan ini juga meneroka dua perubahan besar dalam tingkah laku perjalanan pelancongan sejak pandemik – penyebaran pelancongan jauh dari kawasan bandar, dan penginapan jangka panjang yang didorong oleh kemunculan pengaturan kerja yang fleksibel.

Pengarah Perundingan Ekonomi di Asia untuk Oxford Economics, James Lambert, berkata, Airbnb jelas memainkan peranan penting dalam daya tahan dan kebangkitan sektor perjalanan dan pelancongan Malaysia berikutan pandemik COVID-19.

“Airbnb telah menjadi pencetus beberapa trend yang membentuk semula industri perjalanan dan pelancongan negara, termasuk peralihan dalam perjalanan jauh dari bandar dan ke arah lebih banyak komuniti luar bandar. Terdapat juga peningkatan permintaan untuk perjalanan jangka panjang, seperti yang ditunjukkan oleh fenomena tinggal dan bekerja di mana sahaja dan kerjasama terkini platform ini dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia untuk menarik lebih ramai nomad digital,” katanya.

Pengurus Besar Airbnb bagi Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Amanpreet Bajaj, berkata, “Pengembara domestik sangat penting kepada daya tahan sektor pelancongan sejak tiga tahun lalu, kerana tetamu Malaysia melihat peluang dalam perjalanan domestik sebagai pengganti percutian antarabangsa. Perjalanan pandu sendiri dan serantau semakin popular, yang membawa kepada penyebaran perbelanjaan pelancongan yang lebih luas di luar kawasan tumpuan tradisional di Malaysia.”

“Sumbangan ekonomi kepada KDNK dan pekerjaan yang didorong oleh perjalanan di Airbnb di Malaysia telah mewujudkan kesan limpahan ekonomi yang kuat yang membolehkan pertumbuhan perniagaan tempatan, seperti kedai, restoran, bar dan kafe — yang selalunya menjadi tumpuan kepada pengalaman pengembara di sesebuah destinasi — dan mencipta peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan.”

“Pengembaraan semakin tersebar ke lebih banyak destinasi, sekaligus membantu membolehkan sumbangan ekonomi yang berharga ke lebih banyak kawasan luar bandar dan serantau. Semakin pulihnya sektor pelancongan Malaysia, kami komited untuk  bekerjasama dengan kerajaan dan komuniti untuk membina semula ekonomi pelancongan mereka dengan cara yang saksama, inklusif dan lestari,” tambahnya. – SM

(Visited 148 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button