Ekonomi

Royal Brunei lancar penerbangan Bandar Seri Begawan-Sibu

Royal Brunei Airlines (RB) memulakan perkhidmatan penerbangannya ke Sibu hari ini sebagai sebahagian daripada perkhidmatan RB Link syarikat itu.

RB Link adalah perkhidmatan baharu ditawarkan syarikat penerbangan berpangkalan di Brunei itu yang dilancarkan pada Julai lepas yang menghubungkan negara berkenaan ke bandar di Borneo menerusi kerjasama dengan Malindo Air.

Pesawat ATR 72-600 Penerbangan B16885 dikendalikan oleh Malindo Air, yang membuat pendaratan sulung di Lapangan Terbang Sibu, Sarawak, pada 2.40 petang dengan 65 penumpang, diberikan sambutan tradisi dengan semburan air sebaik tiba.

Pendaratan sulung itu berlaku sembilan hari selepas RB memulakan operasinya untuk laluan Bandar Seri Begawan-Bintulu.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengetuai sambutan untuk penumpang tersebut termasuk beberapa wartawan dari Brunei.

Naib Presiden Jualan kanan RB Ai-Ling Ng pada satu majlis berkata RB sangat bangga menjadi syarikat penerbangan antarabangsa pertama yang terbang ke Sibu menerusi perkhidmatan RB Linknya.

“Kami gembira memperkenalkan Sibu sebagai destinasi seterusnya dalam fasa satu inisiatif serantau RB Link yang menghubungkan bandar-bandar di Pulau Borneo.

“Sibu dan bandar-bandar berdekatannya akan mendapat manfaat daripada tawaran harga berpatutan dan produk perkhidmatan penuh lima bintang, serta hubungan lancar menerusi Brunei ke laluan seperti penerbangan tanpa henti ke London (United Kingdom), Brisbane dan Melbourne (Australia), Tokyo (Jepun), Seoul (Korea Selatan) dan enam bandar di China,” katanya.

RB percaya bahawa pengembara dari Sibu termasuk dari segmen kerajaan, korporat dan pelancongan akan mencuba produknya dan mempunyai alasan menarik untuk memilih syarikat penerbangan itu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebagai pusat transit bagi meneruskan destinasi seterusnya.

“Daripada perspektif global, Kepulauan Borneo merangkumi Sarawak, Sabah dan wilayah Kalimantan, Indonesia, menawarkan banyak pilihan untuk tetamu antarabangsa kami: kaya dengan kepelbagaian budaya, flora dan fauna unik, taman negara, hidupan liar, pantai dan banyak lagi. Terdapat banyak tempat menarik untuk diterokai bagi keluarga dan rakan-rakan di Sibu,” kata Ng.

Sementara itu, Abdul Karim dalam ucapannya berkata dengan sambungan antarabangsa melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Sibu dan kawasan sekitarnya di rantau tengah Sarawak boleh mengharapkan lebih banyak ketibaan pelancong di masa depan.

Kerajaan negeri akan mempromosikan kawasan wilayah tengah sebagai destinasi untuk budaya, pengembaraan, alam semulajadi, makanan, dan festival.

“Dilengkapi dengan kemudahan jalan raya Sibu-Kapit yang dijangka siap pada Ogos 2020, Sibu sebagai pintu masuk ke pedalaman boleh mendapat manfaat kerana banyak perkara ia boleh tawarkan kepada pelancong.

“Acara seperti Festival Kebudayaan Borneo tahunan, Pesta Tarian Antarabangsa Sibu, dan Base Jump (sukan payung terjun) akan menarik minat pelancong,” katanya.

Beliau menggesa pejabat Residen dan Majlis Perbandaran Sibu untuk mewujudkan lebih banyak produk pelancongan dan memberikan layanan terbaik kepada para pelancong.

Selain itu, Abdul Karim berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei akan menjadi pintu masuk alternatif selain dari Kuala Lumpur dan Singapura bagi penduduk dari wilayah tengah yang berhasrat menuju ke destinasi luar negara yang lebih mudah.

Ia akan menyediakan enam penerbangan seminggu ke dan dari Bandar Seri Begawan dan Sibu.– BERNAMA

(Visited 284 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button