Ekonomi

Airbnb dan MDEC mengumumkan MoU untuk bekerjasama dalam program DE Rantau

Airbnb dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) hari ini mengumumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam inisiatif DE Rantau MDEC.

Kerjasama itu bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab pilihan bagi warga nomad digital di rantau ini, serta menggalakkan penginapan lebih lama dan pelancongan yang lebih tersebar di seluruh negara.

Kerjasama strategik ini selaras dengan trend kerja jarak jauh dan pelancongan fleksibel yang kian meningkat pasca pandemik COVID-19.

Menurut satu kajian Oxford Economics yang diterajui oleh Airbnb dan yang bakal diterbitkan, penginapan jangka panjang (28 malam dan ke atas) di Airbnb di seluruh rantau Asia Pasifik, meningkat daripada 7.7% jumlah malam tetamu pada 2019, kepada 11.6% pada 2023.

Di Malaysia, malam penginapan jangka panjang meningkat daripada 11.6% jumlah malam tetamu yang ditempah oleh tetamu antarabangsa pada 2019, kepada 18.6% pada 2022.

Tiga destinasi paling popular untuk penginapan jangka panjang pada 2022 ialah Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Bahru.

Menerusi kerjasama ini, Airbnb dan MDEC akan bekerjasama untuk mengenal pasti dan mempromosikan lebih daripada 600 penyenaraian DE Rantau Hub yang mesra nomad digital di Airbnb, dengan lebih banyak lagi penyenaraian yang bakal diiktiraf oleh MDEC pada bulan-bulan akan datang.

Penyenaraian tersebut yang terletak di kawasan tumpuan pelancongan seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Langkawi, akan menawarkan kemudahan yang mesra nomad digital kepada para pengembara.

Ini termasuk ruang kerja khusus, WiFi, dapur, dan kemudahan dobi yang sesuai untuk penginapan selama sebulan atau lebih lama.

Bagi menarik kunjungan lebih ramai nomad digital ke Malaysia, Airbnb telah melancarkan laman airbnb.com/liveandworkinmalaysia, yang menampilkan semua penyenaraian DE Rantau
Hub yang telah diiktiraf oleh MDEC dan mesra kerja jarak jauh.

Ia bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi yang mesra nomad digital serta pelbagai manfaat Pas DE Rantau MDEC. – SM

(Visited 125 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button