BeritaPendidikan

Selesai bergraduat Diploma Bahasa Inggeris di UPSI, ‘Yah Kucai’ hasrat sambung pengajian ijazah pendidikan

Afea Deanna Baharudean, 22, atau dikenali ramai sebagai ‘Yah Kucai’, adalah antara penerima diploma daripada 825 graduan semasa sesi keenam, Istiadat Konvokesyen ke-23 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semalam.

Afea Deanna yang belajar Diploma Bahasa Inggeris di bawah Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI menerima diploma daripada ProCanselor Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Ketika ditemui, Afea yang membintangi filem “18 Puasa Di Kampong Pisang”, “Kampong Pisang Bersiri-Siri” dan “Kampong Pisang Musikal Raya” ini memanjatkan rasa syukur ketika ditemui sejurus selepas istiadat konvokesyen berakhir.

“Alhamdulillah selesai juga pengajian saya di UPSI. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada kedua ibubapa saya dan juga para pensyarah di universiti serta rakan-rakan yang banyak membantu perjalanan pengajian saya di sini,

“Pada awalnya agak susah saya nak suaikan diri, iyalah, saya gadis luar bandar, membesar dalam suasana kampung dan tak biasa dengan persekitaran kampus. Tambahan pula berjauhan dengan keluarga, namun sedikit demi sedikit, saya pelajari cara berdikari dan mula mencari kerja untuk sara pengajian saya di sini,” imbau gadis yang berasal dari Tanjung Piai, Johor, ketika awal-awal menjejakkan kaki ke kampus.

Umum juga ketahui permulaan kerjayanya dalam bidang lakonan, bakatnya dicungkil oleh majikannya, allahyarham sutradara Mamat Khalid apabila dia mula diterima bekerja secara sambilan di restoran Sarang Art Hub, Tanjung Malim, Perak, milik arwah.

Bukan mudah bahagikan masa belajar sambil bekerja, namun Afea ada formula dan kaedah belajar caranya tersendiri.

“Cara saya belajar adalah dengan memberi tumpuan penuh dalam kelas. Rutin harian saya ialah, pergi kelas, habis kelas, pergi kerja. Balik kerja, manfaatkan masa selebihnya untuk selesaikan tugasan sebelum tidur. Keesokan harinya masuk kelas macam biasa seperti rakan-rakan mahasiswa yang lain. Alhamdulillah semuanya okey saja,” kongsi  Afea lanjut.

Afea (tengah) merupakan anak harapan kepada ayah Baharudean Basiron, 49, dan ibu Suzana Abdul Hamid, 46.

Dilahirkan bukan dari keluarga yang senang, anak ketiga daripada lapan orang adik beradik ini sudah terdidik untuk memahami suasana kehidupan,

“Bapa saya menggalas tugas berat menyara keluarga selepas ibu terpaksa berhenti kerja beberapa tahun lalu kerana menjaga arwah adik bongsu yang sakit sebelum meninggal dunia baru-baru ini,” jelasnya yang masih dirudung duka kehilangan adik yang tercinta Aizzuddean Baharudean, beberapa minggu sebelum istiadat konvokesyen.

Tak tolak rezeki lakonan, Afea teringin watak mencabar

Mengakui setakat ini masih belum ada lagi pelawaan untuknya beraksi di layar perak, Afea turut menyatakan fokusnya sekarang adalah untuk menyambung pengajiannya ke peringkat ijazah sarjana pula selepas ini, sesuai dengan hasrat kedua ibubapanya yang mahu lihat dia jadi seorang pendidik anak bangsa.

“Bagaimanapun, baru-baru ini saya dapat tawaran lakonan dalam sebuah siri sitkom televisyen. Mendapat peranan utama bernama Siti, seorang gadis gila-gila dan kelakar berjudul Kami Budak Flat arahan Mohd Zyrul Hafizi dan bakal diterbitkan RTM pada Julai nanti,” jelasnya.

Sitkom yang akan bersiaran selama 13 episod itu turut menampilkan pelakon-pelakon popular seperti Wahid Senario, Ahmad Tarmimi Siregar, Syamim Razi, Kimberly Chuah, Yem Raja Lawak, Fazira Shafinaz dan ramai lagi.

“Jujur saya katakan bukan mudah ‘bermain’ dalam gelanggang sepak terajang industri hiburan. Ketika era pandemik sepanjang dua tahun lalu melanda, saya juga sering mendengar keluh-kesah pekerja-pekerja dalam industri hiburan yang hilang pekerjaan apatah lagi mereka terlebih dahulu sudah lama cari makan dalam bidang ini,” jelasnya tidak berselindung.

Masih hijau dalam dunia lakonan, Afea mengimpikan untuk memain peranan watak-watak yang lebih versatile. Dia tidak menolak dan sanggup cabar diri jika diberi ruang untuk watak-watak selain komedi.

“Saya teringin juga hendak teroka kemampuan saya dengan cuba bawa watak-watak yang serius serta penuh emosi kerana dalam keluarga, ibu selalu kata saya seorang yang ‘gembeng’ iaitu mudah mengalirkan airmata,” ujarnya sambil ketawa kecil.

Selain watak ‘airmata’ saya juga teringin nak main peranan watak-watak berat seperti wanita psiko atau pembuli yang bersesuaian dengan keperluan karya.

“Namun yang pastinya saya yakin bahawa watak feminin, heroin cantik serta naskah bertema cinta romantis pasti takkan ada produser yang akan berani tawarkan pada saya. Maklumlah sayakan bertubuh kerdil,” jelasnya lagi sambil berseloroh.

Watak Yah Kucai dah ‘mati’.

Menurut Afea, terlalu banyak jasa allahyarham Mamat Khalid lebih-lebih lagi arwah insan yang bertanggungjawab membawa namanya ke persada seni lakonan. Bagaimanapun Afea akan menolak sekiranya ada tawaran untuk dia tampilkan watak Yah Kucai.

“Terus-terang saya boleh katakan watak Yah Kucai telahpun mati dalam naskah terakhir dalam kemunculan saya sama seperti watak-watak lain seperti Husin yang Uncle Mamat kenalkan

“Malah, hampir semua karakter yang diperkenalkan oleh arwah seperti watak Yah Kucai hanya arwah saja betul-betul faham keperluan dalam naskah-naskah beliau. Takkan ada lagi pengarah lain yang mampu cari personaliti menggantikan watak Yah Kucai,” tegasnya lagi.

Menurut Afea lagi, watak Yah Kucai hanya eksklusif kepada naskah arwah Mamat Khalid waima waris teraju hebat itu, Mohd Khalid Amen, seakan tidak mampu menyambung legasi peranan Yah Kucai dalam naskahnya

“Hanya arwah saja yang betul-betul mengerti watak Yah Kucai,” jelasnya lagi.

(Visited 6,515 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button