Berita

Isu wanita perlu ditangani dari semasa ke semasa

 

Profesor Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Islam Universiti Malaya, Prof Datin Dr Raihanah Abdullah berkongsi bahawa isu wanita merupakan sesuatu yang ‘malar segar’ iaitu isu yang sentiasa berlaku dan perlu ditangani dari masa ke semasa. Sejarah menunjukkan sebelum kedatangan Islam, kedudukan wanita ketika itu begitu rendah iaitu tidak diberi penghormatan sebagai manusia dan dihina seumpama haiwan. Wanita tiada hak sebagai seorang individu dan juga manusia. Ada anak-anak perempuan ditanam hidup-hidup, wanita boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja, tiada hak bersuara dan sebagainya.

Wanita tiada statusnya dari segi kemanusiaan. Kemudian, Islam datang dengan membawa sinar kepada wanita. Wanita diangkat kedudukannya daripada hina iaitu seolah-olah barang dagangan, menjadi manusia yang mempunyai hak dan tanggungjawab. Kita merupakan Khalifah di bumi ini tidak kira lelaki mahupun wanita mempunyai amanah yang besar dan perlu digalas selain menyuruh kepada kebaikan dan menyuruh manusia meninggalkan perkara-perkara keburukan, jelas beliau.

Sementara itu Pensyarah Kanan Jabatan Siasah Syar’iah, Akademi Pengajian Islam, Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
pula memaklumkan bahawa peranan dan kedudukan wanita telah diangkat oleh Allah SWT dalam Islam. Wanita boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki membolehkan wanita mempunyai harga diri dan maruah. Wanita kini boleh sama-sama menyumbang kepada pembangunan negara.

Menurut beliau, wanita kini menghampiri separuh populasi penduduk di Malaysia. Peratus guna tenaga wanita di negara ini adalah melebih 55%. Kedudukan wanita bekerja di negara ini pula berada pada tahap melebihi 36% di sektor awam, malah pada kedudukan tertinggi termasuklah di JUSA telah meningkat bilangannya.


Ada juga jawatan-jawatan yang dahulunya tidak pernah terlintas di fikiran kita, kini sudah boleh disandang oleh wanita seperti Ketua Kampung, Penghulu, Pegawai Daerah, bahkan Rektor, Gabenor Bank Negara, Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan sebagainya. Bahkan jawatan-jawatan yang melibatkan dan memerlukan tenaga serta kudrat seperti Ketua Balai Bomba, Ketua Polis Negeri dan sebagainya turut disertai wanita, di mana wanita di peringkat atas inilah yang membuat keputusan dan mengeluarkan arahan.

Tambah beliau lagi, kita perlu sentiasa bersyukur tentang keselesaan dan apa yang Allah telah kurniakan sebelum ini lebih lama berbanding kesukaran yang kita hadapi dalam 2 tahun pandemik ini. Covid-19 menguji kita sama ada menjadi orang yang bersyukur mahupun orang yang kufur. Justeru, kita perlu melihat pandemik ini dengan pandangan yang positif, ulas beliau.

Demikian menurut Raihanah dan Sharifah Hayaati pada sesi ketiga bertajuk “Forum Wanita dan Peranan Kebangkitan Kecemerlangan Ummah Pasca-Pandemik” pada “Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Siri Ke-2’ yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) secara maya bertemakan “Women in Search of Excellence (WISE).

Raihanah kemudiannya menjelaskan bahawa wanita yang bekerjaya dan yang tidak bekerjaya memainkan peranan dan tangungjawab yang sangat penting dalam membangunkan masyarakat. Wanita yang memilih sebagai suri rumah dan tidak bekerjaya juga memainkan peranan yang besar termasuklah memastikan kebajikan keluarga, pendidikan anak-anak dan sebagainya. Pendidikan kekeluargaan dan rumah tangga amat penting dan perlu ada kebersamaan di antara suami dan isteri dalam menggalas tanggungjawab. Suri rumah juga perlu memiliki ilmu pengetahuan, ilmu kewangan dan kekeluargaan dan menjadi contoh kepada anak-anak.

Raihanah juga berharap wanita mencontohi keperibadian dan ketokohan isteri Rasulullah SAW. Mereka menjadi antara yang terawal menerima Islam, periwayat hadis yang banyak, wanita yang tabah, pemurah dan berperanan penting dalam perjuangan Rasulullah SAW. Beliau menegaskan bahawa “Kejayaan seorang suami itu, di sampingnya adalah seorang wanita dan begitu juga sebaliknya di mana suami dan isteri perlu saling membantu, jatuh dan bangun bersama serta mendukung di antara satu sama lain.

Sharifah Hayaati pula turut menambah bahawa kesibukan itu dialami oleh semua orang. Ada pepatah berbunyi “Orang yang sibuk adalah orang yang lebih menghargai masa dan tak semestinya orang yang mempunyai masa itu mampu melakukan perkara yang dilakukan oleh orang yang sibuk”. Kita perlu ingat bahawa dalam kesibukan, tak sentiasa kita berjaya mengharungi kesibukan tersebut.

Kita perlu sentiasa melihat sesuatu itu dari perspektif yang positif. Kesibukkan dan kesukaran yang dihadapi menjadikan kita lebih tabah dan memiliki jatidiri. Kesibukan boleh di atasi dengan pengurusan masa yang baik. Dalam Islam ada menyatakan tentang keutamaan iaitu “memastikan yang lebih penting dari yang penting”.

Beliau turut berkongsi tentang ‘kaedah kuadran’ dalam pengurusan masa iaitu dengan memasti dan mengkategorikan keutamaan tugas dan membahagikan masa kepada 4 bahagian iaitu pertama: penting dan segera, kedua: penting tetapi tidak segera, ketiga: tidak penting tetapi segera dan keempat: tidak penting dan tidak segera.

Oleh itu, kita perlu merancang masa terutama wanita di dalam mengendalikan hal rumah tangga. Suami dan isteri juga perlu meluangkan masa yang berkualiti dengan keluarga bukan berapa lama kita bersama keluarga. Wanita juga perlu memberi masa kepada diri untuk belajar daripada pengalaman, kesalahan dan kesilapan yang dilalui. Justeru, harungi kesibukan dengan kebijaksanaan, jelas beliau.

Menutup sesi pada petang itu, Pegawai Institut Sunnah dan Irsyad (ISNAD), Jabatan Mufti Negeri Perlis, Ustazah Nor Faezah Hassan selaku moderator merumuskan bahawa peranan wanita sangat besar dalam melahirkan Kecemerlangan Ummah Pasca-Pandemik, tidak kira apa jua profesyen yang mereka lakukan jua turut berperanan dalam membentuk generasi hari ini. Oleh itu semua pihak perlu sama-sama membantu dan mengembling tenaga memberi sokongan kepada para wanita daripada pelbagai sudut sama ada mental, fizikal, sikologi, agar mereka dapat mengekalkan semangat juang bagi mendidik anak bangsa menjadi Ummah yang cemerlang dan terbilang.

Terdahulu daripada itu, dalam titah ucapan perasmian seminar tersebut Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan bahawa kaum wanita juga perlu lebih berani menyahut cabaran dan sentiasa berubah mengikut peralihan masa supaya kekal relevan. Salah satu caranya ialah dengan membaca kerana ia akan membantu wanita menjadi seorang yang berpengetahuan.

(Visited 43 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button