Nasionalpilihan

Tarif air di Melaka naik 16 sen

Tarif air baharu bagi pengguna di Melaka diselaraskan dengan purata 16 sen per meter padu atau 13.9 peratus berkuat kuasa 1 Februari ini kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Menurutnya, pelarasan selepas 13 tahun itu melibatkan 297,000 akaun pengguna domestik dan 46,000 bukan pengguna domestik.

Katanya, kali terakhir pelarasan itu dibuat pada 2011 yang menyaksikan Melaka adalah negeri keempat terendah berbanding beberapa negeri-negeri lain.

Beliau berkata, penyelarasan tarif baharu itu tidak dapat dielakkan ekoran kos operasi dan penyelenggaraan yang terpaksa ditanggung Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sudah mencecah RM290 juta setiap tahun.

“Ia tidak akan menjejaskan sejumlah 150,000 pengguna akaun domestik meskipun tarif air dinaikkan sebanyak 27 sen setiap meter padu bagi penggunaan dari 0 hingga 20 meter padu.

“Seramai 81,000 pengguna akaun domestik atau 27 peratus pengguna biasa dijangka akan mengalami kenaikan bil air bulanan secara purata hingga RM13.95 sebulan bagi penggunaan dari 21 hingga 35 meter padu,” ujarnya
dalam sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri, di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Ab. Rauf berkata, bagi 66,000 akaun bukan pengguna domestik pula lebih 35 meter padu, mereka akan menerima kenaikan bil air lebih tinggi disebabkan konsep tarif punitif yang diguna pakai.

Katanya, hasil daripada pendapatan tambahan ini akan digunakan SAMB bagi membiayai projek-projek menaik taraf dan penambahbaikan sistem perkhidmatan bekalan di Melaka.

“Pelarasan ini akan menjadikan kerajaan negeri dan SAMB lebih komited dan memastikan sistem bekalan air tidak terganggu perancangan dalam sektor pelancongan dan pelabur di negeri ini,” ujarnya. – SM

(Visited 49 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button