fbpx
Nasional

Menteri guna Vellfire: Rujuk MOF, kata Menteri KPDNHEP

“RUJUK MOF (Kementerian Kewangan).”

Itu jawapan ringkas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution terhadap soalan yang dilontarkan salah seorang pengikut beliau di Facebooknya hari ini berkaitan kontrak yang bakal ditawarkan kerajaan yang didakwa memerlukan kenderaan mewah, Toyota Vellfire untuk menteri dan pegawai kerajaan.

Soalan itu dilontarkan oleh pengguna FB bernama Tun Perak berbunyi,”Datuk Seri Saifudddin Nasuition kenapa kerajaan umum penggunaan kereta Vellfire di saat jurang ekonomi rakyat marhaen masih memerlukan pertolongan kerajaan. Sepatutnya tangguh dulu.”

Jawapan ringkas Saifuddin itu bagaimanapun dipersoalkan seorang lagi pengguna Facebook, Nasry Nasir.

“Datuk bila rakyat bertanyakan soalan, silalah berikan jawapan yang masuk akal. Soalan yang ditanya saudara Tun Perak amat penting bagi semua. Jangan la bila ditanyakan soalan dibalas soalan,” kata Nasry Nasir.


“Minta DS bawa pandangan dalam mesyuarat Kabinet terbaru. Sudi apa kiranya dpt tangguhkan sementara waktu. Ramai amai rakyat bawahan yang mengundi PH pru lalu pun mengeluh,” balas Tun Perak.

Soalan tersebut dilontarkan mereka pada hantaran yang dibuat Saifuddin pagi ini. Dalam hantaran tersebut Saifuddin berkata, beliau sesekali memukul 100 bola golf di lapang sasar sekadar untuk mengeluarkan peluh.

“Zaman muda saya aktif bersukan. Bolasepak, takraw, hoki dan ragbi. Pada usia 5 siri siri masih menggemari sukan dan mengikuti setiap perkembangan sukan dalam dan luar bg.

Kudrat tidak lagi mengizinkan untuk saya aktif. Sesekali saya memukul 100 bola golf di “lapang sasar” sekadar keluarkan peluh,” kata Saifuddin.

Sebelum ini portal berita Malay Mail melaporan, kontrak kenderaan yang bakal ditawarkan kerajaan memerlukan 32 unit Toyota Vellfire untuk menteri-menteri dan pegawai-pegawai tinggi.

Laporan itu turut mendedahkan kerajaan juga memerlukan lebih kurang 3,000 Honda Accord untuk pegawai-pegawai kerajaan. Vellfire dan Accord tersebut dikatakan akan digantikan setiap empat tahun.

Kerajaan juga bercadang untuk menggantikan 1,300 unit kenderaan penguatkuasaan (Mobile Patrol Vehicles) dalam tempoh lima tahun dan juga 8,000 unit Proton Persona dan Saga untuk kegunaan jabatan-jabatan.

Kontrak kenderaan itu dibuka untuk semua selepas kontrak 25 tahun oleh Spanco tamat hujung tahun 2019.

Kontrak baharu akan berjalan selama hanya 15 tahun dan akan membabitkan 12,500 unit kenderaan dengan jumlah RM300 juta setahun, bermula selepas tahun kelima.

Syarikat-syarikat yang akan membida untuk kontrak tersebut ialah Spanco, Kumpulan Naza, Berjaya, Sime Darby, DRB-Hicom, Kumpulan Samling, Comos dan Go Auto yang menjadi wakil pengedar jenama Haval.-SM

 

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button