Politik

Tangguhlah dulu hasrat nak jadi PM – Asyraf Wajdi

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan agar mengangguhkan dahulu harast untuk menjadi perdana menteri.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi berkata, Anwar seharusnya meneliti keinginannya untuk menukar kerajaan di tengah-tengah negara sedang berhadapan dengan peningkat jangkitan virus Covid-19.

“Tangguhlah dahulu hasrat nak jadi Perdana Menteri tu. Negara sedang mengalami penularan pandemik Covid-19 yang kian meningkat.

“Apakah sudah terhakis rasa belas dan simpati terhadap keresahan dan kepayahan rakyat di semua peringkat ketika ini, yang saban hari memerah keringat bahkan berat memikirkan juadah atas meja, samaada masih mampu terhidang untuk keluarga?” tanya Asyraf Wajdi.

Beliau mengulangi saranan Pemuda UMNO untuk semua ahli politik melakukan gencatan politik. Katanya, tindakan gencatan politik adalah yang paling rasional diambil tatkala rakyat sedang dalam keadaan resah dan gelisah.


“Inilah, sewajarnya untuk ahli-ahli politik melangkaui sempadan parti dapat bersolidariti dan menzahirkan jiwa besar mengenepikan perbezaan dan persengketean demi agenda membantu rakyat,” kata Asyraf Wajdi.

Anwar dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan untuk beliau hadir menghadap pada Selasa depan.

Anwar berkata, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang beliau sebut sebelum ini kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinanNya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah diberi keafiatan daripada kegeringan baru-baru ini.

“Sehubungan itu, saya ingin menjunjung kasih kerana Kebawah Duli Tuanku telah memperkenankan untuk saya mengadap pada hari Selasa, 13 Oktober 2020, Insya-Allah,” kata Anwar.

Pada 23 September lalu Anwar mendakwa mempunyai sokongan majoriti hampir dua pertiga ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu sekali gus menumbangkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Anwar dalam sidang media khas itu berkata, sokongan yang dianggap kukuh dan meyakinkan itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebaik baginda keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN).-SM

(Visited 97 times, 2 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button