Nasionalpilihan

Takut lihat ribut cabut bumbung sekolah

“Seram dan takut tengok ribut yang sangat kuat,” ujar Farariza Bahradin, 45, seorang guru tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Batu Berendam dekat sini petang ini.

Dalam kejadian pukul 2.40 petang itu hampir keseluruhan tujuh blok sekolah berkenaan mengalami kerosakan dibadai puting beliung tersebut.

Paling teruk apabila semua bumbung di blok C yang menempatkan lapan bilik kelas,
satu bilik guru dan pejabat tercabut sehingga menampakkan rangka kayu siling
sekolah berkenaan.

Farariza berkata, ketika kejadian dia berada bersama dua guru, tujuh pelajar tingkatan enam dan beberapa murid Sekolah Rendah I-Musleh.

Katanya, dia mendengar bunyi yang sangat kuat sebelum disusuli tiupan angin yang sangat kencang.

“Ketika saya membuka tingkap sekolah saya lihat angin pusar seperti puting beliung yang sangat kuat terus menerbangkan seluruh bumbung sekolah di blok C.

“Mujur ketika itu pelajar tingkatan enam bersama saya manakala guru dan murid Sekolah Rendah I-Musleh berada di Astaka.

“Saya minta mereka semua agar tidak keluar dari kelas dan duduk berlindung sehingga ribut itu berhenti,” ujarnya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian hari ini.

Hadir sama melawat di sekolah berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kirk Chee Yee.

Sementara itu Pengetua sekolah tersebut Ramli Abdullah berkata, beliau melahirkan rasa lega kerana tidak ada pelajar, guru dan murid Sekolah Rendah I-Musleh mengalami kecederaan.

Katanya, cuma persediaan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya diadakan Isnin ini terjejas berikutan kelas yang sepatutnya digunakan tercabut bumbung.

“Saya akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk susun semula peperiksaan itu mengikut keadaan dan mungkin kita menggunakan kelas lain,” ujarnya.

Jelasnya, esok Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat penilaian kerosakan yang dialami di semua tujuh blok sekolah berkenaan sebelum kerja-kerja baik pulih dijalankan. – SM

(Visited 35 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button