JenayahNasional

Ratusan rakyat Malaysia ditahan di Myanmar gara-gara sindiket ‘love scam’

RABU lalu, seorang mangsa ‘love scam’ yang hanya mahu dikenali sebagai Cheah berkata, dia ditipu untuk bekerja sebagai pelayan di sebuah pusat karaoke di Thailand sebelum dibawa ke sebuah perkampungan di Myawaddy,  Tenggara Myanmar.

Kata Cheah, di sana dia bertemu dengan rakyat Malaysia lain yang ditahan di sebuah bangunan empat tingkat dan mendakwa terdapat kira-kira 300 orang di setiap tingkat.

Menurut Cheah lagi, tahanan diawasi dengan ketat oleh rakyat Malaysia yang menganggotai sindiket ‘love scam’ itu dan mereka mempengaruhi pemikiran mangsa untuk menipu orang lain di seluruh dunia.

Cheah berkata, dia dipaksa untuk melibatkan diri dalam operasi ‘love scam’ dan sasarannya adalah masyarakat Cina yang tinggal di Amerika Syarikat (AS), Singapura dan Taiwan.

“Saya hanya bekerja untuk tiga hari,” kata Cheah.

Sambung Cheah, “selepas itu, mereka memukul saya dengan kayu besbol setiap hari kerana enggan bekerja.”

Untuk melepaskan dan membebaskan dirinya daripada sindiket ‘love scam’ berkenaan, keluarganya membayar RM70,000 kepada sindiket itu.

Musibah yang menimpa Cheah mendapat perhatian polis yang sedang menyiasat dakwaannya yang mengatakan terdapat ratusan rakyat Malaysia ditahan di Myanmar oleh sindiket yang menjalankan kegiatan ‘love scam’.

Bagaimanapun, Ketua Penolong Pengarah Bahagian (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Fadil Marsus berkata, setakat ini polis tidak menerima sebarang maklumat mengenai tahanan itu selain daripada remaja yang membuat dakwaan berkenaan.

“Kami sedang meneliti dakwaan mangsa,” katanya merujuk kepada remaja berusia 19 tahun yang mahu dikenali sebagai Cheah yang berkata dia membayar sejumlah wang tebusan untuk membebaskan dirinya.

Sehubungan itu, Fadil berkata, polis sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk menyelamatkan mangsa lain. – SM

(Visited 543 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button