Nasional

Azilah, Najib, Yusoff Rawther dan Mohd Adib

SEMALAM gegak gempita kisah pengakuan bersumpah Azilah yang kini merupakan banduan akhir selepas didapati bersalah membunuh Altantuya iaitu seorang wanita asing.

Azilah sebelum ini bersumpah Najib tidak terlibat tiba-tiba tampil dan menuduh Najib ketika itu selaku timbalan perdana menteri yang mengarahkan wanita malang itu dibunuh atas alasan merupakan perisik asing.

Maka timbullah kisah Azilah dibayar RM 300 untuk melaksanakan misi shoot to kill itu. Selepas itu peguam Najib iaitu Shafee Abdullah telah mendedahkan mendapat maklumat ada VVIP telah berjumpa dengan Azilah.

Melihatkan banyaknya hurup V itu memang jelas ia merujuk kepada perdana menteri Dr. Mahathir. Tetapi Mahathir ketika ditanya pemberita berkenaan dakwaan itu hanya tersenyum dan menggelengkan kepala.

Hantu Altantuya ini tiba-tiba bangkit lagi dan kebangkitannya pula memilih hari ulang tahun pertama Mohd Adib seorang anggota bomba yang terbunuh dalam rusuhan di sebuah kuil hindu di Seafield.

Maka habislah semua rakyat Malaysia terlupa bahawa keadilan buat Mohd Adib belum tercapai. Siapa yang bertanggungjawab menyebabkan nyawa anggota bomba muda itu melayang. Inkues telah mengesahkan beliau telah dibunuh dan kini siapa pelakunya masih lagi misteri.

Kes Mohd Adib ini sebenarnya tidak kurangnya dramatik dengan pembunuhan Altantuya. Polis dan forensik telah menyatakan bahawa Mohd Adib telah terbunuh akibat dirempuh kenderaan bomba sendiri ketika keluar dari kenderaan berkenaan bagi menyelamatkan diri daripada serangan para perusuh.

Bagaimanapun bomba dan inkues yang dijalankan mendapati sebaliknya. Kini polis yang kebingungan untuk mencari pelaku yang dikatakan telah memukul mangsa hingga berada dalam keadaan kritikal dan meninggal dunia semasa dirawat di hospital.

Bezanya dalam kedua-dua kes ini keadilan buat Mohd Adib belum ditemui dan semakin dilupakan, manakala Azilah yang telah didapati bersalah membunuh Altantuya cuba menyelamatkan diri dengan mendakwa keputusan itu dibuat atas arahan dan demi tugas.

Hari yang sama hantu Altantuya bangkit, Dr. Mahathir selaku PM ke-7 jawab dipertikaikan kenapa kerajaan PH buat U-turn besar dengan projek Bandar Malaysia.

Najib sendiri dalam posting ke FB miliknya yang mempunyai hampir 4 juta pengikut berkata, Dulu PM ke-4 pernah berulang kali tuduh projek Bandar Malaysia ini adalah projek PM ke-6 jual negara.

Hari ini PM ke-7 tandatangan perjanjian untuk jual projek ini juga pada harga sama, peratus jualan sama, nilai sama dan pembeli yang sama.

Lalu PM ke-7 jelaskan bahawa PM ke-4 sebenarnya keliru masa PM ke-4 tuduh macam-macam ke atas PM ke-6.

PM ke-7 kata PM ke-4 dahulu salah faham dan salah kira.

PM ke-7 jelaskan bahawa projek ini bukan jual negara kepada China seperti dituduh PM ke-4 dahulu tetapi sebenarnya ianya telah dijual oleh PM ke-6 kepada syarikat Malaysia – khususnya syarikat milik kerajaan.

Jual pada China itu peratusan yang kecil je.

Oh… macam itu ya?

Siapa yang pernah dihasut dan ditipu oleh PH dengan isu Bandar Malaysia ini bahawa BN dan saya jual negara, sila angkat tangan.

Tapi Mahathir adalah Mahathir beliau tidak kisah dengan apa juga tuduhan dan cercaan dan beliau terus jalan seperti biasa walaupun pada usia yang begitu lanjut.

Saya masih lagi terbayang wajah Rafidah Aziz yang menangis kononnya nasib anggota tentera telah diabaikan apabila kem Sungai Besi telah ditutup bagi memberi laluan kepada pembangunan bandar Malaysia. Mahathir tidak kisah soal menjilat ludah sendiri atau sebagainya.

Di dalam celah-celah itu terselit juga cerita Yusoff Rawther yang menjalani ujian poligraf selepas menuduh telah diserang secara seksual songsang oleh Anwar Ibrahim yang bakal menjadi perdana menteri kelapan.

Kes berkenaan pula diambil oleh peguam terkenal dan sering dikaitkan dengan Dr. Mahathir iaitu Hanif Khatri Abdulla.

Hanif Khatri bukan sahaja mewakili Yusoff Rawther, tetapi juga mewakili GPMS dalam saman terhadap kerajaan berhubung kesahihan kewujudan sekolah vernakular.

Hanif Khatri juga antara calon paling berwibawa untuk menggantikan Tommy Thomas yang bakal tamat kontrak sebagai peguam negara pada Mei tahun hadapan.

Tidak cukup itu lagi ramai yang beranggapan tuduhan terbaharu terhadap Najib adalah untuk bertujuan memenjarakan beliau kerana jika ditangkap kerana tuduhan bunuh beliau tidak boleh direman.

Ini bermakna beliau tidak akan dapat mengganggu pilihan raya kecil yang bakal berlangsung di Kimanis, Sabah.

Najib dikatakan antara faktor yang menyebabkan pakatan harapan tewas dalam empat pilihan raya kecil dan terbaharu di Tanjung Piai.

Belum lagi sampai ke hujung minggu rakyat negara ini dihidangkan dengan begitu banyak drama sehingga menyesakkan dada sedangkan pada masa yang sama ribuan kakitangan syarikat media iaitu Media Prima kehilangan pekerjaan dan entah berapa ribu lagi bakal kehilangan pekerjaan akibat satu demi satu syarikat gulung tikar atau mengecilkan operasi akibat situasi ekonomi yang semakin suram.

Negara semakin kaya dengan isu, tetapi kantong rakyat makin kosong dan kos sara hidup mendadak naik tanpa usaha untuk mengawalnya. Tahun hadapan dijangka negara akan berdepan dengan inflasi dan pastinya bukan yang diharapkan daripada sebuah kerajaan.

 

 

 

(Visited 124 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button