Nasional

Dua termasuk pengarah agensi penguatkuasa ditahan SPRM

Dua individu termasuk seorang pengarah agensi penguatkuasa direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes skandal rasuah berhubung kelulusan dan pengecualian khas kepada beberapa syarikat untuk membawa Minyak Gred Berat di perairan Malaysia, hari ini.

Pengarah agensi penguatkuasa tersebut direman selama empat hari manakala seorang pengarah syarikat direman lima hari bagi membantu siasatan kes yang sama.

Perintah reman sehingga 18 dan 19 Disember depan itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut pagi ini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek berumur di antara 50 dan 60 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya antara pukul 9 hingga 12 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan.

“Difahamkan, antara tahun 2019 hingga 2020 pengarah agensi kerajaan tersebut disyaki telah menerima suapan secara bulanan daripada pengurus syarikat perkapalan.

“Suapan itu sebagai balasan tidak menjalankan pemeriksaan ke atas kapal yang menjalankan aktiviti pengisian minyak di perairan Malaysia.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berkaitan, seorang timbalan ketua pengarah sebuah agensi kerajaan bergelar Dato’ yang direman pada Jumaat lalu (11 Disember 2020), di sambung reman selama tiga hari sehingga 18 Disember depan.

Manakala empat daripada suspek termasuk Setiausaha Bahagian dan pengarah syarikat bergelar Dato’ Sri yang direman sebelum ini pada tarikh yang sama dilepaskan dengan wang jamin antara RM9,000 hingga RM15,000. -SM

(Visited 450 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button