Nasional

SPRM mungkin panggil Radzi bantu siasatan kes projek buku J-Qaf bernilai lebih RM80 juta

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan memanggil Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin bagi membantu siasatan dakwaan rasuah projek percetakan buku J-Qaf bernilai RM80 juta ketika beliau menjadi Menteri Kanan Pendidikan.

Laporan portal FMT hari ini menyebut, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Azam bagaimanapun tidak mendedahkan bila naib presiden Bersatu itu akan dipanggil dan hanya menjelaskan “bukan dalam masa terdekat.”

“SPRM tidak menolak untuk memanggil YB Radzi tetapi bukan dalam terdekat ini,” kata Azam dalam laporan tersebut.

Kelmarin, SPRM dilaporkan sudah menahan dua individu termasuk bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri kanan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bagi projek bernilai RM80 juta membabitkan sebuah kementerian.

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki

Sumber badan anti rasuah itu memaklumkan, suspek pertama berusia dalam lingkungan 20-an yang juga bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri kanan manakala suspek kedua ialah pemilik syarikat berusia lewat 50-an.

“Mereka dipercayai bersubahat dengan bekas menteri kanan itu meminta dan menerima rasuah melalui syarikat suspek kedua daripada kontraktor sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku secara rundingan terus,” kata sumber itu.

Semalam, Radzi dalam kenyataan menafikan dakwaan beliau meluluskan secara runding terus projek berkenaan dan mendakwa tindakan SPRM itu dibuat atas arahan pihak atasan susulan kenyataannya di Parlimen, pada Selasa lalu.

Mengulas dakwaan itu, Azam berkata siasatan kes berkenaan telah berjalan sebelum laporan dibuat oleh wakil Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Tiada tekanan daripada mana-mana pihak. Kes telah dibuka sebelum ini, sebelum mereka dari JPM datang membuat laporan,” tegas Azam lagi.

Artikel berkaitan > Kecoh dalam Dewan Rakyat: Radzi Jidin diarah keluar

 

 

(Visited 286 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button