Rencana

Sesuatu yang baharu memang sukar diterima

SEMASA saya kecil, saya sering mendengar nenek, emak dan rakan mereka berbual tentang tidak sedap masak masakan menggunakan dapur minyak tanah.

Mereka lebih suka menggunakan dapur kayu kerana makanan yang dimasak dengan cara lama ini lebih sempurna masaknya.

Jadi kebanyakan rumah, walaupun sudah mempunyai dapur minyak, masih terdapat dapur kayu di belakang rumah.

Nenek saya menggunakan dapur kayu hingga ke akhir hayat, kerana selain tidak gemar masakan menggunakan dapur minyak, dia juga bimbang akan keselamatan jika disambar api dapur minyak.

Hakikatnya memang makanan dimasak dengan dapur memang tiada tandingan. Masalahnya semakin hari, semakin sukar untuk mendapatkan kayu untuk dijadikan kayu api.

Akhirnya semua menggunakan dapur gas yang lebih canggih daripada dapur minyak. Dan kini timbul pula dapur elektrik dan isu yang sama juga timbul.

Jika dilihat lebih jauh ke belakang, ketika kereta menggunakan petrol diperkenalkan, ramai yang khuatir ia akan meletup.

Kini kereta elektrik semakin mendapat perhatian masyarakat dunia.

Itu semua soal perubahan cara hidup, tetapi kita terpaksa kini berdepan dengan normal baharu apabila pandemik melanda seluruh dunia.

Covid-19 seluruh dunia masih tercari-cari vaksin dan kaedah paling berkesan menanganinya.

Pada masa ini kaedah terbaik tetap duduk di rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Dan inilah yang disebut oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika program bicara khas di RTM baru-baru ini.

Ini bukan soal kerajaan gagal atau berjaya, jika gagal, semua akan gagal dan kejayaan hanya dapat dikecapi jika semua bekerjasama.

Cabaran cukup besar, pada masa yang sama kehidupan rakyat tidak boleh diabaikan.

Tidak timbul soal kerajaan flip flop, yang ada ialah dasar yang dinamik sentiasa berubah mengikut situasi pandemik yang sukar diramal.

Ketika kita sudah melandaikan keluk penularan, tiba-tiba dek sedikit alpa tentang SOP, jumlah kes meledak kembali.

Kita mungkin boleh cuba meniru apa yang dilakukan oleh negara maju iaitu melaksanakan total lockdown, dan program vaksinasi besar-besaran serta menjaga SOP.

Persoalannya apakah kita mampu mengikut negara maju?

Ekonomi negara akan runtuh jika total lockdown dilaksanakan kerana asas ekonomi kita tidak kukuh serta terlalu bergantung modal asing dan  sektor perindustrian.

Untuk melaksanakan vaksinasi besar-besaran bukannya sesuatu yang mudah kerana vaksinasi sudah diborong dan dicuri oleh negara maju.

Kita tentu masih ingat bagaimana penerbangan membawa vaksin telah ‘disabotaj’ dan dibawa ke negara maju semasa pesawat berkenaan transit di sebuah lapangan terbang.

Bagaimanapun rundingan tanpa henti membolehkan kerajaan melaksanakan vaksinasi akhir tahun ini kepada semua penduduk negara ini, iaitu lebih awal daripada yang dijangkakan.

Itu belum kisah mereka yang enggan mengambil vaksin dan mereka yang degil dalam mematuhi SOP.

Jika kita kekal mengamalkan kawalan kendiri dan pada masa yang sama memberi peluang kepada kerajaan menguruskan ekonomi dan pandemik, akhir tahun ini kita akan nampak cahaya di hujung terowong.

Terowong itu tidak terlalu panjang dan kita harus tabah untuk sedikit masa sahaja lagi.

 

(Visited 541 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button