Rencana

Pasca Covid-19: Graduan perlu lebih fleksibel dan versatil

Oleh : Mohd Zaini Othman

SEJAK akhir tahun lalu hingga semasa sudah banyak universiti yang kembali sibuk menguruskan majlis konvokesyen masing-masing. Selepas sekian lama tertunda lama kerana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan jangkitan COVID-19 yang ada ketikanya sangat membimbangkan, kini sudah ramai graduan ‘lama’ yang tersenyum bersama ahli keluarga mereka kerana berpeluang merasai kembali nikmat majlis berkonvokesyen.

Penulis secara peribadi berpandangan seperti tidak lengkap seorang mahasiswa itu menamatkan pengajian bertahun di universiti jika tidak merasai peluang dan momen menyarung jubah graduasi, berarak bersama kawan-kawan sepengajian memasuki dewan konvokesyen dan kemudiaannya naik ke pentas menerima skrol. Terasa lebih puas diiktiraf sebagai graduan dengan cara seperti ini.

Itulah keindahan majlis konvokesyen, cumanya kita perlu berpijak di bumi nyata bahawa realiti sebenar ‘di luar’ majlis konvokesyen itu lebih merisaukan penulis dan banyak pihak, tambahan pula bila dikaitkan dengan situasi semasa. Impak pandemik COVID-19 yang sudah melangkaui dua tahun lamanya melanda negara memberi cabaran yang besar kepada graduan yang baru ingin membuka langkah ke alam kerjaya kerana jawatan kosong semakin terhad kerana sektor ekonomi dan pekerjaan masih bergelut untuk pulih.

Ditambah pula dengan penangan Revolusi Industri 4.0 yang berpaksikan kepada kebergantungan manusia kepada kecanggihan teknologi terkini dalam memudahkan pelbagai urusan, semua faktor ini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan pengangguran graduan di luar sana. Natijahnya lebih ramai yang terpaksa mencari pekerjaan di luar bidang pengajian mahupun terpaksa menerima kadar upah yang tidak berpadanan dengan kelayakan.

Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2019, graduan Malaysia meningkat kepada 5.29 juta atau 6.9 peratus lebih tinggi pada 2019 berbanding 4.94 juta pada 2018. Kajian oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang memetik sumber Statistik Graduan Jabatan Statistik Malaysia 2020 mendapati jumlah siswazah menganggur meningkat sebanyak 22.5 peratus kepada 202,400 orang pada 2020 berbanding 165,200 pada tahun sebelumnya.

Semakin tinggi kadar kebolehpasaran graduan, semakin tinggi kualiti graduan yang dihasilkan oleh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan seterusnya berupaya memenuhi permintaan industri. Kadar kebolehpasaran graduan amat berkait rapat dengan prestasi ekonomi dan pasaran pekerjaan negara. Oleh yang demikian, kerjasama secara kolektif dan bersama dengan semua pihak amat perlu dalam memastikan kadar kebolehpasaran graduan dapat ditingkatkan lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik yang sedang melanda negara dan dunia.

Kebolehpasaran dalam kalangan graduan baharu mencerminkan isu ekonomi dan pasaran pekerjaan yang lebih luas. Ketika di universiti, mereka terhindar daripada sebarang krisis yang berlaku dalam ekonomi. Namun, krisis COVID-19 amat memberi kesan kepada pasaran buruh terutamanya pekerjaan berkemahiran untuk graduan baharu. Industri di kebanyakan sektor pula dilihat terus menangguhkan pengambilan pekerja, terutamanya bagi jawatan yang memerlukan kemahiran yang boleh diisi oleh graduan (pekerjaan berkemahiran).

Hakikatnya isu kebolehpasaran graduan ini merupakan isu struktural dan telah wujud sebelum krisis COVID-19 lagi cumanya ia makin kritikal selepas pandemik berlaku. Kementerian Pengajian Tinggi amat cakna kepada isu kritikal ini dengan menyediakan pelbagai inisiatif sokongan kepada graduan dan bakal graduan.

Antara inisiatif yang sedang giat dijalankan adalah program peningkatan kemahiran melalui dana Pelan Jana Semula Ekonomi atau PENJANA. Melalui insiatif tersebut, Kementerian Pengajian Tinggi melaksanakan dua program yang berkonsepkan latihan peningkatan kemahiran dan pensijilan profesional untuk membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan iaitu PENJANA KPT-CAP atau Career Advancement Programme dan PENJANA KPT-PACE atau Profesional Certification. Kedua-dua program ini yang memfokuskan kepada program latihan dan perantisan, padanan pekerjaan berpandukan kelayakan graduan dan pembangunan bakat keusahawanan.

Melihat kepada senario persaingan semasa dan masa hadapan yang semakin kompetitif untuk graduan mendapatkan pekerjaan, situasi ini secara tidak langsung membuka mata bahawa memiliki segulung ijazah bukan lagi keistimewaan dan jaminan untuk menempatkan diri dalam dunia pekerjaan. Mahasiswa seharusnya mengambil peluang semasa di universiti untuk mengusai bidang kemahiran yang lain, meningkatkan kemahiran komunikasi dan keterampilan diri serta menjadi individu yang lebih fleksibel dan versatil. Pelbagai bentuk peluang dan ruang tersedia di universiti untuk para mahasiswa merebutnya.

Cumanya, pesanan penulis jangan ada pihak membuat kesimpulan dangkal bahawa tidak penting lagi belajar tinggi-tinggi selepas ini kerana ijazah tidak lagi menjamin alam kerjaya seperti yang diimpikan. Sedangkan yang perlu difahami realiti kini bahawa ijazah bukan lagi lesen mendapatkan pekerjaan dengan mudah, sebaliknya ia menjadi asas membina kerjaya yang lebih baik.

Catatan : Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM. Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis.

(Visited 200 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button