Nasional

Sambutan Kemerdekaan: Pengunjung dinasihatkan guna pengangkutan awam

PENGUNJUNG yang menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya pada 31 Ogos ini dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam untuk kelancaran perjalanan ke sambutan tersebut.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa turut menasihatkan orang ramai supaya menjaga keselamatan diri dan anak ketika berada di lokasi sambutan yang dijangka menyaksikan 100,000 pengunjung.

“Dalam kegembiraan kita menyambut Hari Kebangsaan, sila utamakan keselamatan dengan mematuhi semua peraturan lalu lintas dan arahan daripada pihak berkuasa.

“Kita juga mempunyai bas pengantara iaitu bas Nadi Putra yang menyediakan perkhidmatan di Putrajaya bermula seawal jam 4 pagi hingga 2 petang dan terdapat dua tempat pengambilan iaitu di Putrajaya Sentral dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) setiap 10 minit (kekerapan bas),” katanya pada program ‘Selamat Pagi Malaysia’ RTM di sini hari ini (28 Ogos).

Mohamad Fauzi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 berkata perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) juga diminta menyelaraskan waktu operasi untuk kemudahan orang ramai semasa sambutan itu.

Tambah Mohamad Fauzi, beberapa kemudahan turut disediakan antaranya tempat letak kereta, tempat makan, khemah perubatan dan tandas untuk kemudahan pengunjung.

Mengenai sambutan itu, Mohamad Fauzi berkata lebih 16,000 peserta daripada 65 kontinjen daripada pelbagai agensi akan menyertai perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2023.

“Beberapa persiapan telah dirancang termasuk acara besar seperti kempen Pelancaran Jalur Gemilang, ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Hari Kebangsaan, Sambutan Hari Kebangsaan, dan sambutan Hari Malaysia.

“Selain itu, kita ada pelbagai acara lain seperti konvoi jelajah Jalur Gemilang dengan penyerahan bendera, program antara kementerian, dan memperingati negarawan Tun Dr Ismail (Abdul Rahman),” katanya. -SM

BACA Warga emas hasilkan kraf, lukisan untuk “galeri” Hari Kebangsaan

Baca OKU penglihatan pacu semangat seiring sambutan Hari Kemerdekaan

(Visited 205 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button