NasionalRencah Hidup

OKU penglihatan pacu semangat seiring sambutan Hari Kemerdekaan

BULAN Ogos bukan sahaja istimewa dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara pada 31 haribulan tetapi turut membawa makna yang besar kepada seorang insan Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan.

Roslan Bidin, 49, berkata, ini berikutan tiga hari sebelum bulan ini berakhir iaitu pada 28 Ogos pada 2007 beliau membuka perniagaan kraftangan yang berasaskan rotan.

Katanya, bengkel kraftangan sumbangan jabatan pertanian, jabatan tenaga kerja dan Kraftangan Perlis ini terletak bersebelahan dengan kediamannya.

Kini Lan Seni Kraf yang terletak di Kampung Beseri Dalam, Jalan Padang Melangit, dekat Kangar telah beroperasi selama 14 tahun lalu.

Jadi setiap kali bulan Ogos, Roslan berbangga kerana bukan sahaja dia menyambut hari kemerdekaan negara tapi juga dalam masa hampir sama menyambut ulangtahun pembukaan kedainya.

Sekali lagi pada bulan Ogos kali ini, Roslan menyediakan produk istimewa sempena kemerdekaan iaitu produk tudung saji yang dianyam reben dari motif bendera Jalur Gemilang.

Selain tudung saji, pelanggan juga boleh mendapatkan pelbagai jenis hasil anyaman rotan seperti bakul untuk pelbagai kegunaan.

Roslan memberitahu beliau bernasib baik kerana turut dibantu oleh ibunya, Embon Abdullah, 83.

Selain itu katanya, tiga rakannya yang juga OKU Penglihatan iatu dua dari Perlis dan seorang dari Kedah turut menyediakan produk untuk dijual di kedainya.

Roslan bersyukur sekalipun pandemik belum pulih tapi di sepanjang ulangtahun kedainya kali ini telah menjadi kenangan manis apabila Yayasan Orang Buta Malaysia (YOBM) datang melawat dan membeli produk bengkelnya.

“Sesungguhnya, kunjungan daripada YOBM merupakan satu hadiah bermakna buat saya sempena hari ulangtahun kedai kraftangan ini,” katanya.

Roslan berkata, sesiapa yang meminati kraf tangan dari kedainya boleh menghubungi menerusi talian 01135662731.

Beliau berharap orang ramai terus memberikan sokongan terhadap produk yang dihasilkan oleh OKU Penglihatan. – SM

(Visited 769 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button