Politik

UMNO tak akan pulih secara automatik jika Zahid berundur!

DATUK Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, UMNO tidak akan pulih secara automatik jika Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur.

Sebaliknya, kata bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu, UMNO perlu memperbetulkan hala tujunya terlebih dahulu.

Tajuddin Abdul Rahman

Tajuddin yang digantung keahliannya dalam parti UMNO selama enam tahun bermula Oktober tahun lepas berpendapat, parti itu kini diibaratkan seperti “seorang pesakit menghidap pelbagai penyakit kronik yang memerlukan pemerhatian doktor pakar”.

“Bukan mudah untuk diatasi harus ada pakar betul-betul mahir, buat analisa dan cari ubatnya.

“Masalah Zahid ini satu bab sahaja. Kalau Zahid tiada, ingat UMNO automatik boleh pulih?

“Tetapi tidak juga bermakna Zahid tak (sepatutnya) bertanggungjawab (terhadap prestasi buruk UMNO)…beliau harus bertanggungjawab,” katanya menurut laporan FMT.

Desakan supaya Zahid bertanggungjawab dan meletak jawatan semakin kedengaran susulan prestasi buruk UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu yang telah diadakan pada Sabtu lalu, 12 Ogos.

Pada PRN itu, UMNO hanya menang 19 daripada 108 kerusi ditandingi iaitu 14 di Negeri Sembilan, masing-masing dua di Selangor serta Pulau Pinang dan satu di Kelantan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Di Terengganu dan Kedah pula, semua calon UMNO kalah termasuk tiga bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said, Ahmad Razif Abdul Rahman dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, UMNO dibawah pimpinan Zahid juga kalah teruk apabila hanya mampu menang 26 kerusi Parlimen.

Tajuddin yang digantung kerana kritikan terbukanya terhadap Zahid seterusnya berkata, UMNO harus kembali ke landasan perjuangannya.

Landasan perjuangan UMNO ialah mengangkat kedudukan orang Melayu dari segi ekonomi, pendidikan dan pembangunan.

“Orang Melayu hendak tengok itu,” ujar Tajuddin.

Mengulas sama ada kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP memberi kesan kepada hala tuju UMNO, Tajuddin berpandangan, terdapat pemimpin UMNO yang mengutamakan kepentingan individu melebihi segala-galanya menerusi gabungan berusia lapan bulan itu.

“Maknanya apabila bekerjasama dengan DAP, dengan orang itu orang ini yang dipentingkan…perjuangan parti UMNO itu sendiri tidak lagi penting, agenda perjuangan orang Melayu tidak lagi penting,” dakwa beliau.

Untuk rekod, lima tahun lalu, Tajuddin pernah menggerakkan inisiatif sama disokong PAS dan UMNO pada ketika itu sehingga membawa kepada penubuhan Muafakat Nasional (MN) yang bagaimanapun berkubur menjelang PRU15 apabila kedua-duanya membawa haluan masing-masing.

PAS yang bergabung dengan Bersatu bawah Perikatan Nasional (PN) menang 74 kerusi menerusi “gelombang hijau” manakala UMNO di bawah Barisan Nasional (BN) bergerak solo hanya menang 30 kerusi.

Bagaimanapun, BN bergabung dengan PH, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti kecil lain untuk membentuk kerajaan pusat diketuai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang kini menjadi Perdana Menteri. – SM

BACA UMNO tidak perlu buat pemutihan – Isham Jalil

BACA Zahid enggan letak jawatan, ikrar baiki parti

(Visited 115 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button