Nasional

Kerajaan teliti ubah suai alur limpah Sungai Golok atasi banjir termenung

Kerajaan sedang meneliti untuk mengubah suai alur limpah di Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kelantan bagi mengatasi masalah banjir termenung di kawasan berhampiran, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Memetik laporan BERNAMA, bercakap pada sidang media selepas menghadiri sesi libat urus Menangani Masalah Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan di sini hari ini, beliau berkata banjir itu berpunca daripada pelaksanaan projek tebatan banjir berkenaan selain jumlah hujan tinggi pada hujung tahun.
“Kita faham keluh-kesah penduduk di sana. Kita kena tengok balik sebab dah selesai projek, alur limpah yang dibuat terdahulu kita kena ubah,” katanya ketika mengulas gesaan penduduk supaya kerajaan mengatasi masalah air tersekat yang berlaku hampir sebulan.
Selain itu, Nik Nazmi berkata kertas kerja dasar mengenai cadangan menangani jerebu rentas sempadan dijangka dikemukakan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas (Parlimen) Alam Sekitar, Sains dan Perladangan tahun depan.
Beliau berkata hasil dapatan pada sesi libat urus melibatkan pihak berkepentingan hari ini dan ketetapan daripada mesyuarat tersebut akan dibentangkan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri untuk kelulusan dan pelaksanaan.
“Di peringkat domestik, kerajaan melalui pelbagai kementerian, jabatan dan agensi pada setiap tahun berusaha untuk memastikan semua persediaan menghadapi cuaca panas dan kering serta pencegahan pembakaran terbuka diambil tindakan sewajarnya.
“Aktiviti penguatkuasaan bersepadu juga telah dipertingkatkan bagi mencegah pembakaran terbuka serta bagi memastikan langkah-langkah pencegahan kebakaran ladang dan premis diambil sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata syarikat perladangan milik Malaysia dan syarikat berkaitan Malaysia yang beroperasi di dalam negara dan di Indonesia juga telah diingatkan untuk memastikan langkah-langkah pencegahan pembakaran terbuka diambil sewajarnya, bagi mengelakkan kebakaran ladang dan hutan gambut yang menjadi punca utama jerebu.
“NRES (Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam) terus komited dan sentiasa berusaha mengatasi masalah jerebu merentas sempadan ini daripada terus berulang,” katanya. – SM
(Visited 71 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button