Nasional

Salah Najib tak nampak sebarang kesalahan 1MDB – Jho Low

KLIP rakaman perbualan di antara Low Taek Jho atau Jho Low dengan pegawai kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) disiarkan sebuah dokumentari Al Jazeera, lapor FMT.

Dalam klip yang mengandungi dua bahagian siasatan khas bertajuk “Jho Low: Hunt For A Fugitive”, ahli perniagaan buruan itu menyalahkan pihak lain yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

NAJIB“Saya tidak percaya ada sebarang kesalahan,” katanya yang didakwa sebagai dalang skandal 1MDB.

“Semua ini akhirnya ialah pinjaman secara langsung atau tidak langsung tetapi akhirnya saya rasa masa sudah tiba.

“Kami mahu membantu mengembalikan aset ini sebagai balasan untuk kerjasama dan meneruskan hidup tanpa, anda tahu, didakwa,” katanya.


Tetapi, bekas ejen khas FBI, Debra LaPrevotte yang terbabit dalam siasatan 1MDB menepis dakwaan Jho Low dengan berkata:

“Jika tiada sebarang kesalahan, beliau tidak akan mengembalikan aset itu atau ia tidak akan dirampas.”

Dalam rakaman itu, Jho Low turut menyalahkan bekas perdana menteri dan menteri kewangan, Datuk Seri Najib Razak atas skandal 1MDB.

Jho Low berkata, beliau (Jho Low) tiada kuasa untuk membuat sebarang keputusan.

Najib berdepan dengan 25 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun AmBank Najib antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Beliau mendakwa meminjam berbilion daripada 1MDB untuk membeli barang mewah termasuk hartanah mewah, karya seni, sebuah jet peribadi dan kapal layar besar.

Selain itu, Ahli Parlimen Pekan, Pahang itu turut didapati bersalah atas 7 pertuduhan rasuah membabitkan RM42 juta milik bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Najib yang menafikan sebarang salah laku dalam skandal itu sedang membuat rayuan di mahkamah terhadap sabitan itu.

Jho Low turut didakwa kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terbabit dalam skandal tersebut.

Katanya, beliau berada di China ketika bersetuju menemui penyiasat Malaysia di Hong Kong atau Macau tetapi ia tidak pernah berlaku kerana beliau melarikan diri ke UAE sehari sebelum pertemuan itu.

Laporan itu mendapati walaupun dua notis merah Interpol dikeluarkan terhadap Jho Low dengan pasport Malaysia, Cyprus serta St Kitts dan Nevisnya dibatalkan, beliau masih boleh masuk ke negara-negara lain termasuk Thailand, UAE serta India.

Seorang lagi ejen khas FBI yang mengetuai siasatan 1MDB, Bill McMurry berkata, ia hanya boleh dilakukan melalui rasuah dan bantuan kerajaan sangat tinggi. – FMT – SM

(Visited 195 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button