NasionalpilihanTravel

Nancy wakili Malaysia ke Mesyuarat Peringkat Menteri Pelancongan Apec Ke-11

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Hajah Nancy Shukri, mewakili Malaysia dalam Mesyuarat Menteri-Menteri anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) bagi Pelancongan atau the 11th APEC Tourism Ministerial Meeting (TMM11) yang diadakan di Bangkok, Thailand. Mesyuarat yang pertama kali diadakan selepas tahun 2018 itu akan menjadi sebahagian daripada agenda dalam merangka dasar pelancongan di rantau APEC.

Menurut Nancy, Malaysia menduduki tempat ke-2 dalam The Economist’s 2022 Travel-Ready Index for Asia setelah diiktiraf sebagai salah sebuah negara tertinggi di dunia yang mencatat kadar tertinggi dalam pemvaksinan.

Malah, dalam masa beberapa bulan sahaja selepas pembukaan semula sempadan negara, Malaysia merekodkan jumlah lebih daripada 1 juta ketibaan pelancong luar negara. Kejayaan itu membolehkan Malaysia menetap semula sasaran baharu ketibaan pelancong asing kepada 4.5 juta tahun ini, dan ia akan dikaji semula setiap tiga bulan dengan mengambil kira perkembangan semasa terutamanya apabila lebih banyak negara mula melonggarkan sekatan perjalanan keluar sempadan negara mereka.

Tambah beliau, Malaysia menjangkakan bahawa fasa pemulihan pelancongan mengambil masa sekurang-kurangnya 2 hingga 3 tahun lagi untuk pulih. Pada masa yang sama, Malaysia mengakui bahawa sokongan secara bersasar adalah amat diperlukan bagi memastikan kelangsungan dalam menjalankan aktiviti perniagaan dan komuniti yang berkaitan industri pelancongan dapat dipulihkan segera.

Tahun lalu, Malaysia telah membelanjakan sebanyak USD 14.6 juta (RM61 juta) bantuan kewangan untuk dimanfaatkan oleh 29,286 penggiat industri pelancongan.

Komitmen itu diteruskan pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak USD 20 juta (RM85 juta) kepada pengendali pelancongan terdiri daripada syarikat pelancongan dan pengembaraan, pengendali pusat spa dan kesihatan, pemilik homestay dan pemandu pelancong bagi membantu mengurangkan beban mereka.

Nancy juga berkongsi tentang pelaksanaan tindakan strategik Rangka Kerja Pemulihan Pelancongan 2.0 yang terdiri daripada lima (5) tonggak strategi ke arah pemulihan dan ketahanan untuk tempoh jangka sederhana sehingga jangka panjang iaitu;

  • Menyokong perniagaan pelancongan dengan langkah pemulihan;
  • Memulihkan keyakinan pelancong dan kelancaran perjalanan intraregional
  • dan antarabangsa;
  • Mencipta semula produk dan perkhidmatan pelancongan untuk memacu daya saing;
  • Menjajarkan pelancongan dengan elemen kemampanan dan keterangkuman; dan
  • Mengukuhkan pemulihan dengan ketahanan jangka panjang dan kesediaan berhadapan dengan krisis.

“Malaysia komited dalam menjalinkan kerjasama di peringkat antarabangsa terutama melalui platform APEC serta mengesyorkan agar penglibatan dan perkongsian pandangan diadakan secara berterusan di kalangan ahli ekonomi APEC, terutamanya dalam bidang digitalisasi, penggunaan teknologi dan pelaburan pelancongan yang mampan. Perkara ini penting bagi memastikan industri pelancongan akan lebih kukuh dan lebih berdaya tahan bagi menghadapi apa jua cabaran serta rintangan pada masa hadapan,” jelas Nancy.

Beliau turut menjemput dan mengalu-alukan semua delegasi untuk menyertai World Tourism Conference 2022 (WTC 2022) yang merupakan sebuah acara anjuran bersama Malaysia melalui MOTAC dengan UNWTO. Edisi tahun ini akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah, bermula dari 28 hingga 30 November 2022.

Bertemakan ‘Tourism Futures Reimagined’, persidangan itu nanti akan menjadi platform bagi membincangkan strategi yang dapat memacu ke arah pemulihan dan ketahanan pelancongan dunia pasca-pandemik. – SM

Artikel berkaitan > MOTAC berjaya muktamad beberapa kerjasama dari penganjuran SCC dan APTCC secara hibrid

(Visited 345 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button