fbpx
Nasional

Bekas naib canselor UPSI dilepas, dibebas tuduhan salah guna kuasa

MAHKAMAH Sesyen Ipoh hari ini, melepas dan membebaskan bekas naib canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Zakaria Kasa, daripada tuduhan salah guna kuasa, memasukkan nama anak lelakinya untuk ditemuduga di universiti berkenaan, lima tahun lalu.

Hakim S. Indra Nehru membebaskan Zakaria, 62, tanpa memanggilnya bela diri terhadap pertuduhan itu, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu Naib Canselor UPSI telah menggunakan jawatannya berhubung perkara yang beliau mempunyai kepentingan, apabila mengarah kepada Mohd Faizi Othman iaitu pendaftar UPSI, untuk memasukkan nama Mohd Fauzi Zakaria, iaitu anak lelakinya untuk dipanggil temuduga pada 12 Sept 2014.

Tertuduh yang memakai suit hitam didakwa melakukan kesalahan itu di bilik Naib Canselor, Pejabat Naib Canselor, Bangunan Canselor, UPSI, Tanjung Malim antara pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari 24 Jun hingga 12 Sept 2014.

Dia dituduh mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Zakaria terdahulu didakwa di mahkamah sama pada 27 Nov 2018 dan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan, iaitu menggunakan kuasanya untuk melantik anak lelaki dan menantunya di universiti berkenaan.

Bagaimanapun, pada 20 Jun 2019, pihak pendakwaan telah meminda daripada dua pertuduhan tersebut kepada satu pertuduhan, yang melibatkan anak lelaki tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Wahida Jalaluddin, manakala tertuduh diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan, Noor Hidayah Mohd Saad dan Mohd Khairul Fairuz Rahman.

Seramai 17 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang perbicaraan, yang bermula 16 Julai 2019 dengan 36 barang kes. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button