Ekonomi

SSM Lanjutkan Insentif Pengurangan Kompaun Sehingga 31 Oktober 2022

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) meneruskan tawaran insentif pengurangan kompaun menerusi Akta Syarikat 1965 (Akta 125) bagi tempoh empat bulan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2022 hingga 31 Oktober 2022.

Kongsi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, SSM sebelum ini menawarkan insentif yang sama bermula 1 Mac 2022 hingga 30 Jun 2022.

“Menyelami kesukaran komuniti perniagaan yang rata-rata masih bergelut untuk kembali bangkit daripada kesan pandemik Covid-19, SSM mengambil langkah melanjutkan insentif ini untuk empat bulan lagi.

“Bersandarkan insentif ini, syarikat dan pengarah syarikat layak mendapat pengurangan 90 peratus daripada
nilai asal kompaun yang ditawarkan mengikut Akta 125 dan mengikut rekod semasa, sebanyak 1,578 syarikat menikmati pengurangan kompaun sejak inisiatif ini diperkenalkan,” katanya.

Alexander berkata demikian dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang turut melibatkan gabungan antara SSM dan Tribunal Rayuan Persaingan (TRP).

Selain itu, SSM juga mencadangkan pindaan bagi menambah baik peruntukan-peruntukan mengikut Akta 125 berkaitan mekanisme penyelamat korporat dan Skim Kompromi atau Perkiraan.

Tujuannya adalah untuk membolehkan syarikat yang berdepan masalah kewangan untuk memohon proses rehabilitasi korporat yang bersesuaian agar mereka boleh terus beroperasi (stay afloat).

Dalam masa sama, SSM kini sedang giat menjalankan pelbagai aktiviti bagi merealisasikan Pelan Transformasi SSM (SSMTP) yang melibatkan beberapa projek hala tuju, di mana terdapat dua projek yang berjaya disiapkan iaitu Projek HT3-ROB (berkaitan Pendaftaran Perniagaan) dan Projek HT7 – Single Database (merujuk kepada Pangkalan Maklumat Tunggal).

“Sebanyak tujuh projek kini sedang berjalan secara serentak yang melibatkan satu projek quick win, lima projek berkepentingan tinggi dan satu projek berkepentingan rendah.

“Bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui sektor perniagaan, SSM memperkenalkan program bimbingan usahawan atau lebih dikenali sebagai PBU,” katanya.

Secara khususnya, PBU merupakan inisiatif SSM dalam membantu menyelami isu dan permasalahan yang dihadapi komuniti korporat dengan memupuk kesedaran dan meningkatkan pengetahuan kepada komuniti perniagaan terhadap kepentingan mendaftarkan perniagaan dengan SSM.

“Dalam menjayakan program-program ini, SSM bekerjasama dengan agensi pembiaya seperti TEKUN, MARA, AIM, Bank Rakyat, SME Corp dan PERNAS.

“Selain itu, SSM mendapat komitmen yang baik daripada Gabungan Peniaga & Penjaja Kecil Kebangsaan Malaysia serta perkhidmatan e-dagang iaitu Shopee,” katanya – SM

(Visited 419 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button