Nasional

SPRM Perak siasat isu penjualan tanah lapangan terbang Seri Iskandar

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan isu penjualan tanah tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Pengarah SPRM negeri, Mohd Fauzi Mohamad berkata, siasatan dilakukan susulan aduan rasmi yang diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Asmuni Awi, semalam.

“Penyiasatan dimulakan bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

“SPRM akan memanggil beberapa individu yang berkaitan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan individu yang dipanggil untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM Meru Raya bagi membantu siasatan penjualan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) seluas 188 hektar itu kepada sebuah syarikat swasta.


Semalam, empat bekas Exco kerajaan negeri Perak ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) termasuk Asmuni meminta SPRM melakukan siasatan terperinci kerana mendakwa ia tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Exco atau Lembaga Pengarah PKNP ketika itu.

Khamis lepas, Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, tanah itu telah dijual kepada sebuah syarikat swasta semasa pentadbiran kerajaan PH kerana ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) ia dirizabkan kepada PKNP bagi tujuan pembinaan lapangan terbang antarabangsa.

Sebelum ini, semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ADUN Aulong, Nga Kor Ming mendakwa tapak cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar telah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Katanya, perkara itu adalah salah laku serius serta mahu pihak bertanggungjawab menjual tanah tersebut diheret ke muka pengadilan. – SM

(Visited 80 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button