BeritaNasional

Sistem JPJ Lembab & Kuno, Sampaikan Rakyat Terpaksa Beratur Panjang Bawah Panas Terik!

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, sistem perkhidmatan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedia ada berusia lebih 10 tahun kuno dan perlu dimodenkan selari dengan era digitalisasi.

Beliau yang melakukan lawatan mengejut ke Ibu Pejabat JPJ Johor baru-baru ini turut menegur agensi kerajaan tersebut agar memantau kesesakan yang berlaku di ibu pejabatnya, khususnya pada hari Ahad.

Beliau turut melahirkan rasa sedih dan terkilan apabila melihat orang ramai terpaksa membuang masa dengan beratur panjang dan berjemur di bawah terik matahari.

Berikut adalah perkongsian Ka Siong menerusi laman Facebook miliknya tentang masalah dan azab yang memang sudah ditanggung bertahun-tahun lamanya jika berurusan dengan JPJ.

TURUN PADANG TANPA PENGETAHUAN ATAU NOTIS AWAL


Pagi ini saya mengadakan lawatan kerja mengejut ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor di Taman Daya Johor Bahru bagi mendapatkan maklumbalas secara terus daripada orang ramai tentang perkhidmatan JPJ.

Memang menjadi hasrat saya untuk tidak memaklumkan kepada sesiapa tentang lawatan pagi ini demi membuat verifikasi laporan rasmi yang saya terima daripada pegawai dan kesahihan aduan awam. Maka, saya boleh menilainya sendiri.

Secara terus terang, saya sedih dan terkilan apabila melihat orang ramai masih beratur panjang di sekeliling Bangunan JPJ Johor. Saya terus menyiasat punca yang menyebabkan “queue” yang panjang.

Ada yang memberitahu saya bahawa LMM tidak dapat diperbaharui di UTC dan Pejabat Pos. Ada juga yang mempersoalkan sistem MySikap yang transaksinya dibuat secara dalam talian, namun masih lagi perlu hadir ke JPJ untuk urusan percetakan.

Daripada 4 mesin cetak Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang dibekalkan oleh pembekal perkhidmatan, Percetakan Keselamatan Nasional, hanya 2 mesin sahaja yang berfungsi di Pejabat JPJ Johor ini.

Perkara ini amat mengecewakan dan saya terus menghubungi serta mengarahkan PKN segera membaiki atau menghantar mesin cetak LMM. Jangan buang masa orang ramai beratur panjang dan berjemur di bawah matahari yang terik. Pihak PKN berjanji akan melakukan tindakan serta-merta.

Saya juga tegur warga JPJ Johor agar memantau rapi kesesakan di Bangunan JPJ khususnya pada hari Ahad dan segala kesulitan yang dihadapi bolehlah dilaporkan terus kepada saya.

Saya beri terus nombor telefon bimbit saya kepada pegawai JPJ Johor. Saya pesan, JANGAN biarkan orang awam menunggu berjam-jam hanya kerana mahu mendapatkan cetakan LMM.

Pada waktu yang sama, saya juga mengarahkan Ibu Pejabat JPJ supaya serta-merta mengumpulkan maklumat dari semua cawangan JPJ, UTC dan Pejabat Pos tentang prestasi terkini pencetakan LMM dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) menggunakan mesin cetak yang dibekalkan oleh PKN.

Saya tidak mahu situasi yang sama di JPJ Johor berlaku di tempat lain yang akhirnya membazir masa rakyat. Rakyat tentu marah jika terpaksa lari ke sana ke sini untuk urusan LMM atau LKM yang sepatutnya diselesaikan dengan mudah dan cepat.

Selepas lawatan kerja mengejut, saya dapat membuat kesimpulan bahawa sistem perkhidmatan kaunter JPJ yang sedia ada terlalu kuno (lebih daripada 10 tahun) dan perlu ada anjakan paradigma ke arah digitalisasi untuk jangka panjang bagi memastikan semua perkhidmatan kaunter JPJ menjadi lebih efisyen dan tidak menyusahkan rakyat.

Saya akan cuba sedaya upaya mengimbangi jurang di antara perancangan JPJ dan aspirasi rakyat. Apa yang penting, perkhidmatan yang diberikan perlulah sentiasa baik, lancar, menjimatkan masa dan memenuhi kehendak orang ramai.

#KeluargaMalaysia

Kredit: Facebook Wee Ka Siong

(Visited 75 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button