Jenayah

Sindiket seludup syabu RM835,000 ke luar negara tumpas

Usaha sindiket penyeludupan dadah cuba menyeludup keluar syabu seberat 23.1 kilogram (kg) digagalkan oleh tindakan pantas Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pulau Melaka pada 22 November lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, dadah yang dirampas itu bernilai RM835,000 dipercayai cuba diseludup untuk pasaran luar negara.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 50 tahun yang mempunyai empat rekod jenayah lampau berjaya diberkas hasil serbuan ke atas sebuah kereta dalam kejadian pukul 12.10 tengah malam.

Beliau berkata, empat rekod jenayah lelaki terbabit membabitkan Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka, Seksyen 39 (B) dan Seksyen 56 (1) Akta Imigresen serta Seksyen 6 (1) Akta Kakisan dan Letupan.

Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dengan kerjasama anggota PGA Batalion 6, Johor berjaya menumpaskan sindiket berkenaan.

“Dadah yang dirampas daripada dua beg galas berwarna hitam dan celoreng diisi dalam dua plastik berwarna kuning serta hitam dengan setiap satu seberat 7.38 kg boleh digunakan oleh 115,720 penagih,” ujarnya dalam sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang di sini hari ini.

Zainol berkata, turut dirampas sebuah lagi beg galas berwarna hitam mengandungi lapan bungkusan warna kuning mengandungi syabu dengan anggaran berat 8.34 kg.

Menurutnya, hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket terbabit untuk pasaran ke luar negara adalah serbuan pertama dilakukan.

Bagaimanapun katanya, hasil ujian saringan air kencing ke atas lelaki berkenaan didapati negatif dadah dan suspek direman selama tujuh hari bermula dari hari dia ditangkap bagi membantu siasatan.

Kes tersebut katanya, disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup. – SM

(Visited 122 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button