Rencana

Siapa biri-biri, siapa serigala dan siapa babi?

SALAH seorang peserta ‘Keluar dan #Lawan’ di ibu negara pada Sabtu menampilkan poster bertulis ‘Bangsa biri-biri diperintah oleh serigala dimiliki oleh babi’.

Poster yang dipamerkan oleh peserta himpunan berbaju hitam itu segera menarik perhatian. Ini kerana penulis pernah membaca buku bertajuk The Animal Farm yang mempunyai plot dan jalan cerita yang sama dengan apa yang dipaparkan oleh poster berkenaan.

Jika mereka yang tidak pernah membaca novel klasik karya George Orwell itu tentu berfikir malangnya nasib bangsa biri-biri berkenaan kerana telah dikawal oleh oleh serigala yang ganas dan babi.

Bagi mereka yang belum membaca, penulis sarankan supaya membaca buku yang diterbitkan pada tahun 1945 ini agar tidak mendapat nasib yang sama seperti biri-biri dan haiwan lain yang ditipu hidup-hidup oleh babi.

Novel The Animal Farm telah dialih ke banyak bahasa. Di Malaysia buku itu itu telah diterjemahkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia bertajuk ‘Politik Kandang’.


Kisah bermula disebuah Ladang Manor yang dimiliki oleh manusia bernama Tuan Jones. Dalam ladang berkenaan Tuan Jones menternak bermacam jenis haiwan termasuk biri-biri, babi, kuda dan kambing.

Cerita bermula apabila kononnya babi jantan bernama Major Tua telah bermimpi aneh dan menceritakan mimpinya kepada haiwan-haiwan lain dan dia menghasut mereka bahawa tuan manusia mereka si Jones telah bersikap zalim terhadap mereka.

Kata si babi, semua binatang dalam kandang itu terpaksa berkerja keras untuk Jones namun akhirnya mereka tetap mati disembelih. Justeru si babi mencadangkan satu pemberontakan dibuat terhadap tuan manusia mereka.

“Maka, tidakkah sangat jelas, kawan-kawan bahawa semua kesengsaraan hidup kita ini berpunca daripada penindasan oleh manusia? Hanya dengan menyingkirkan manusia hasil keringat kita akan menjadi milik kita sendiri?

“Dalam tempoh yang singkat kita akan menjadi merdeka dan kaya. Lalu apa yang kita haru buat? Ya! Bekerjalah siang dan malam dengan sehenap jiwa dan raga untuk menggulingkan umat manusia! Itulah pesananku kepada kalian. Kawan-kawan; Pemberontakan,” ucap si babi berapi-api.

Haiwan-haiwan bekerjasama melakukan pemberontakan termasuk menulis poster ‘Empat kaki baik, dua kaki jahat’. Yang bermaksud haiwan lebih baik daripada manusia.

Biri-biri menyukai slogan tersebut dengan sepenuh hati. Lalu sering apabila mereka berbaring di padang semua biri-biri akan mengembek ‘Empat kaki baik, dua kaki jahat! Empat kaki baik, dua kaki jahat!” selama berjam-jam tanpa pernah rasa jemu.

Dipendekkan cerita hasil hasutan si babi, akhirnya mereka berjaya membuatkan Tuan Jones tewas dalam pertempuran dengan haiwan dan terpaksa melarikan diri meninggalkan ladang miliknya.

Pertempuran tersebut menyaksikan banyak biri-biri turut terkorban dan diberikan pingat ‘Pahlawan Binatang Darjah Pertama’.

Pentabiran ladang itu kemudian diambil alih oleh babi bernama Napoleon yang menjadikan beberapa ekor anjing sebagai ‘bodyguard’.

Pada awalnya haiwan gembira dan menerima sahaja arahan daripada babi malah sanggup bekerja 60 jam seminggu dan bekerja sukarela separuh hari pada Ahad.

Bagaimanapun tidak berapa lama kemudian ladang tersebut menjadi huru hara kerana penuh ketidakadilan dan haiwan terpaksa bekerja lebih teruk berbanding ketika ditadbir oleh Tuan Jones.

Slogan baru ladang itu kemudian bertukar,”Semua binatang setara tetapi sebahagian binatang lebih setara daripada yang lain”. Malah para babi yang menyelia kerja-kerja di ladang memegang cemeti di celah tapak kaki mereka. Nasi sudah menjadi bubur.

Berbalik kepada poster yang dipamerkan oleh peserta Keluar dan #Lawan, siapakah yang dimaksudkan menjadi biri-biri, siapakah yang menjadi serigala dan siapakah yang menjadi babi?

Apa yang pasti kita jangan jadi seperti haiwan di Ladang Manor yang termakan hasutan demi kepentingan segelintir pihak.-SM

 

(Visited 139 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button