Rencana

Apa pilihan Yang di-Pertuan Agong ada selepas pengumuman Anwar?

YANG di-Pertuan Agong, sekali lagi bakal menjadi kuasa penentu dalam politik Malaysia selepas pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Hanya Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dapat membuktikan kenyataan itu.

Namun hasrat Anwar untuk menghadap baginda pada Selasa lalu tidak menjadi kenyataan ekoran Yang di-Pertuan Agong gering dan mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Setakat ini Anwar masih belum mendapat tarikh untuk menghadap Agong. Dengan itu dakwaan beliau mendapat sokongan untuk membentuk kerajaan masih belum dapat dibuktikan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula tegas menyatakan bahawa dia masih merupakan pemimpin yang sah dan mengecam usaha Anwar untuk mengacaukan politik negara.

Panggil Pilihan Raya

Pilihan pertama yang ada pada Agong ialah untuk membubarkan parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum untuk membolehkan rakyat memilih siapa yang mereka mahu berikan mandat.

Perkara itu juga yang diinginkan oleh beberapa parti termasuk dalam Pakatan Nasional (PN) terutama UMNO.

Pilihan raya segera dapat menyelesaikan ketidakpastian politik sekarang ini secara tuntas.

Undi percaya

Agong juga boleh meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat memanggil sidang tergempar untuk mengemukakan usul undi percaya kepada Perdana Menteri. Ini kerana sidang Parlimen berikutnya adalah pada 2 November ini.

Jadi untuk mengesahkan kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, undi percaya merupakan salah satu caranya.

Pembangkang telah merancang untuk mencabar sokongan terhadap Muhyiddin di Parlimen selama berbulan-bulan, tetapi tidak berjaya kerana usul tersebut tidak berjaya diketengahkan.

Pada bulan Julai lalu, Perdana Menteri membuktikan bahawa dia memiliki majoriti untuk memimpin negara apabila undian menggantikan speaker memihak kepada Pakatan Nasional.

Lantik Anwar sebagai Perdana Menteri

Sebelum ini ketika Muhyiddin menggantikan Tun Dr. Mahathuir Mohamad pelantikannya adalah dengan restu Agong. Yang di-Pertuan Agong menghabiskan masa berhari-hari menemu bual setiap anggota parlimen untuk mengetahui siapa yang mereka sokong, hingga membawa kepada pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Kali ini pun mungkin Agong boleh menggunakan kaedah yang sama. Cuma kali ini tidak ada kekosongan kepemimpinan, jadi baginda mungkin perlu melihat kedudukan Perdana Menteri sekarang sama ada masih memiliki sokongan atau tidak.

Jika sudah tiada sokongan maka Muhyiddin perlu mengundurkan diri terutama andainya Anwar mendapat sokongan majoriti di parlimen. – SM

(Visited 523 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button