Bola SepakSukan

Setien dipecat Barcelona?

PENGURUS Barcelona, Quique Setien dilaporkan telahpun dipecat selepas skuad bimbingannya diaibkan menerusi kekalahan besar 2-8 di tangan Bayern Munich pada suku akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Jurulatih berusia 61 tahun itu yang baru sahaja dilantik Januari lalu, dijangka dilepaskan daripada tugasnya selepas kekalahan memalukan itu di Lisbon, menurut Sky Sport Italia.

Barcelona teruk dibelasah dan didominasi tanpa belas ihsan oleh Bayern, yang menyumbat empat gol dalam tempoh 31 minit.

Bayern tidak memperlahankan rentak permainan mereka selepas rehat, meskipun Barca berusaha mempamerkan kebangkitan yang sekali gus menyaksikan kelab Sepanyol itu ditimpa kekalahan terburuk sejak 1940 dengan Philippe Coutinho menambah garam pada luka mereka apabila meledakkan dua gol terakhir menentang kelabnya sendiri dari bangku simpanan.

“Pada ketika ini, kami sangat kecewa dan apa yang kami boleh lakukan ialah buat kesimpulan sendiri dan fikirkan tentang masa depan.

“Barca merupakan kelab hebat yang menyebabkan kekalahan ini dirasakan bertambah teruk dan sudah tentu akan ada perubahan yang bakal berlaku.

“Kebenarannya ialah keperitan yang terpaksa kami tanggung akibat daripada kekalahan ini. Barcelona mahu mendapatkan kembali identitinya. Pada ketika ini, masih terlalu awal untuk mengulas sama ada saya kekal ataupun tidak. Keputusan bukannya berada ditangan saya.

“Kami perlu merenung kembali, dan menjadikan kekalahan ini sebagai satu pengajaran dan apa yang paling penting ia satu kekalahan yang amat memalukan dan menyakitkan.

“Saya amat kecewa dengan kekalahan besar ini. Cara ia berlaku amat memeritkan hati. Saya tidak bimbang tentang masa depan saya pada ketika ini, tetapi kekalahan ini amat menyakitkan buat kelab dan peminat. Saya tahu apakah makna kekalahan ini.

“Kami perlu menganalisis apa yang terjadi hari ini dari sudut perspektif yang lebih besar. Saya tahu kredibiliti jurulatih semakin terjejas apabila kekalahan seperti ini berlaku. Ia bukan sesuatu yang membimbangkan saya buat masa ini.

“Kami harus menerima kekalahan ini. Kami dikalahkan oleh pasukan yang sangat bagus. Sejak awal permainan lagi, mereka jelas lebih baik daripada kami sepanjang pertemuan,” kata Setien kepada pemberita selepas perlawanan berakhir.

Sementara itu, Presiden kelab, Josep Bartomeu turut mengakui selepas apa yang berlaku memang akan ada perubahan besar perlu dilakukan dan beberapa keputusan telahpun diambil dengan laporan terbaru dikatakan Pengarah Bola Sepak, Eric Abidal bakal menyertai Setien sebagai individu yang akan dipecat ekoran kekalahan itu.

Bekas bos Tottenham, Mauricio Pochettino telahpun dikenal pasti Barcelona sebagai calon pilihan bagi menggantikan Setien. – Daily Mail UK – SM

(Visited 97 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button