Sukan

Badminton, judo ceriakan kontinjen Malaysia

Sukan Komanwel Birmingham 2022

Kontinjen Malaysia menambah dua pingat iaitu satu emas dan gangsa untuk keseluruhan mengutip tiga emas, dua perak dan dua gangsa pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang masuk pada hari kelima setakat ini.

Skuad badminton berpasukan campuran negara meraikan kejayaan selepas menewaskan India 3-1 dalam perlawanan akhir untuk merangkul pingat emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Emas ketiga dijelmakan di National Exhibition Center (NEC) apabila skuad badminton berpasukan campuran berjaya mengetepikan penyandang juara di Gold Coast 2018, India menerusi kemenangan 3-1 dalam aksi final yang berlangsung selama empat jam.

Kejayaan itu kini meletakkan sasaran Malaysia untuk memburu enam emas di temasya empat tahun sekali itu kian menghampiri matlamat.

Tumpuan hari ini atlet negara beraksi di peringkat akhir untuk menambah koleksi pingat emas ialah dalam acara angkat berat 105 kg menerusi Muhammad Hafiz Shamsuddin dan lompat tinggi melalui Nauraj Singh Randhawa.

Selainnya itu beberapa acara yang melibatkan atlet negara di peringkat pusingan awal termasuk boling padang, olahraga, ping pong individu, renang dan skuasy.


Sebelum ini, sukan angkat berat menyumbang dua emas menerusi Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin menghadiahkannya menerusi kategori 55 kilogram (kg) dan 61kg.

Langkah emas ketiga bermula apabila beregu lelaki turun dalam perlawanan pertama menerusi gandingan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mudah menewaskan Satwik Sairaj Rankireddy-Chirag Chandrashekhar Shetty 21-18, 21-15 buat mengutip mata pertama.

Perseorangan wanita, Goh Jin Wei jelas tidak berupaya menandingi kepantasan pemain nombor tujuh dunia, V. Pusarla Sindhu apabila tunduk 20-22, 17-21 untuk memberikan mata buat India mengikat kedudukan 1-1.

Skuad negara kembali bernafas mendahului 2-1 apabila perseorangan lelaki, Ng Tze Yong membuat kejutan apabila memerah keringat hingga tiga set sebelum menewaskan pemain berpengalaman India, Kidambi Srikath Nammalwar 21-19, 6-21, 21-16.

Mata kemenangan Malaysia dijelmakan oleh beregu wanita menerusi gandingan M Thinaah-Pearly Tan apabila menundukkan Jolly Treesa-Ponnappa Machimanda, 21-18, 21-17 untuk memastikan Malaysia bergelar juara.

Kejayaan merangkul emas pertama sukan badminton di temasya Sukan Komanwel 2022 bakal menyuntik semangat pemain meneruskan aksi selepas ini.

Terdahulu, atlet judo Amir Daniel Abdul Majeed menyumbang pingat gangsa ketiga kontinjen negara selepas diisytiharkan pemenang dalam penentuan pingat tersebut apabila lawannya, Dato Matsoukatov dari Cyprus dibatalkan penyertaan pada saingan penentuan 73 kilogram (kg) di Arena Coventry.

Pemenang gangsa Sukan SEA 2021 itu pada saingan 16 terbaik, mengatasi wakil Samoa, William Tai Tin 10-0. Namun pada peringkat suku akhir, dia tewas kepada peserta Australia, Jake Bensted menerusi satu penalti.

Selepas itu, Amir Daniel bangkit menewaskan Narciso Mozana dari Mozambique pada saingan repechage, 10-0 untuk ke peringkat penentuan pingat menentang Matsoukatov. -SM

(Visited 19 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button