Bola SepakSukan

Bintang bolasepak wanita Amerika, Alex Morgan sertai Tottenham secara tetap

BINTANG bolasepak wanita Amerika Syarikat (AS) Alex Morgan tidak menolak akan kekal di Tottenham secara tetap meskipun ia hanya perjanjian jangka pendek yang ditandatangani sehingga Januari 2021.

Pemenang Piala Dunia berusia 31 tahun itu mengakui, dia kini terdesak untuk beraksi secara tetap dalam perlawanan kompetitif selepas lebih setahun berehat kerana hamil.

Coronavirus telah menyebabkan Liga Bola Sepak Kebangsaan Wanita AS (NWSL) terjejas teruk tetapi perkembangan itu membuka peluang kepada para pemain untuk beralih angin kepada liga bola sepak utama di England.

Liga Bola Sepak Wanita (WSL) kini menjadi destinasi kepada ramai pemain elit AS untuk mencari waktu bermain secara tetap dalam usaha mereka berebut tempat dalam skuad AS untuk Sukan Olimpik Tokyo yang kini ditunda ke tahun depan.

Penampilan Morgan dalam WSL merupakan aksi pertamanya selepas hanya beberapa bulan melahirkan anak sulungnya.

“Semua yang berlaku terlalu pantas. Sudah tentu saya perlu memberi keutamaan kepada keluarga, anak perempuan saya yang baru berusia empat bulan dan juga suami yang bermain bola di AS.

“Saya juga perlu melihat bagaimana saya boleh kembali bermain selepas lama tidak beraksi kerana kecederaan, kehamilan dan juga pandemik. Jadi, banyak perkara yang memainkan peranan terhadap keputusan saya. Dapat menjadi sebahagian daripada pasukan ini, ia adalah sesuatu yang hebat.

“Anda tahu, dengan kekayaan sejarah dan hakikat pasukan bola sepak wanita terus mempamerkan peningkatan tahun demi tahun, saya benar-benar gembira dapat mengorak selangkah lagi dalam karier saya,” kata bintang The Orlando Pride kepada laman web rasmi Tottenham.

Bos Orlando, Marc Skinner dilaporkan berharap Morgan akan kembali sebaik menamatkan kontraknya di England bagi menyertai Pride, pada musim bunga akan datang untuk pra-musim menjelang NWSL 2021.

Tonggak AS itu merupakan salah seorang pemain berprofil tinggi dalam dunia bola sepak, setelah memenangi Piala Dunia sebanyak dua kali dan pingat emas pada Sukan Olimpik 2012.

“Saya tidak boleh terlalu memikirkan tentang masa depan, tanpa duduk untuk tempoh yang lama. Saya juga tidak mempunyai masa membuat keputusan drastik untuk keluarga saya, jadi sama ada saya berada di sini selama tiga bulan, enam bulan atau lebih lama, saya akan mengambilnya langkah demi langkah,” tambahnya.

Penyerang itu akan turut disertai rakan sepasukannya dalam Orlando Pride, Shelina Zadorsky dan Alanna Kennedy yang juga dipinjamkan ke Spurs.

Empat lagi rakan sepasukan Morgan dalam skuad Piala Dunia AS turut mengambil keputusan terbang ke England ekoran negara mereka masih bergelut dengan pendemik Covid-19.

Sam Mewis dan Rose Lavelle menandatangani bersama Manchester City, sementara Christen Press serta Tobin Heath, baru-baru ini menyertai kelab pesaing Manchester United. – The Sun UK – SM

(Visited 324 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button