fbpx
Politik

Setia kehujung nyawa – Wan Azizah

KUALA LUMPUR – Penuh makna tersirat. Mungkin itu yang boleh diperkatakan terhadap hantaran terbaharu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

“Jaga satu hati, pegang satu nyawa, pegang satu nama, simpan dalam hati, setia hujung nyawa.” Itu yang dicoret isteri kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tulisan itu tentunya menarik perhatian ramai kerana ia diluahkan ditengah-tengah keributan yang berlaku dalam parti PKR kini.

Bukan lagi satu rahsia Anwar kini menghadapi gerombolan pemberontakan dalam partinya sendiri.

Kekecohan pada Kongres Nasional PKR hujung minggu lalu dan masih lagi bergolak mengesahkan Anwar kini tidak lagi sehaluan dengan Timbalannya, Datuk Seri Azmin Ali yang juga orang kanannya suatu ketika dahulu.


Coretan itu juga muncul ketika Anwar berhadapan satu lagi siri tuduhan mencabul seorang lelaki, satu tuduhan yang bukan lagi asing terhadap bekas timbalan perdana menteri Malaysia itu.

Seorang lelaki, Muhammed Yusoff Rawther mendakwa dia telah dicabul oleh Anwar iaitu orang yang disebut-sebut sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelapan bagi menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak lama lagi.

Muhammed Yusoff telah membuat akuan bersumpah dan membuat laporan polis terhadap dakwaannya itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul beberapa hari lepas.

Wan Azizah ternyata seorang isteri yang tabah. Selama 20 tahun dia berjuang membersih dan membebaskan nama suaminya daripada tuduhan meliwat sejak 20 tahun lalu.

Dalam tempoh itu dua kali suaminya dituduh meliwat lelaki dan dipenjarakan akibat tuduhan tersebut. Dan dua kali itu jugalah dia berjuang mempertahankan maruah suaminya.

Perjuangan Wan Azizah berhasil membentuk parti PKR yang kuat namun selepas berjaya membentuk kerajaan dan membebaskan Anwar beliau mungkin terpaksa sekali lagi berhadapan dengan ribut yang tidak disangka-sangka.

“Jaga satu hati, pegang satu nyawa, pegang satu nama, simpan dalam hati, setia hujung nyawa,” adalah satu ikrar Wan Azizah untuk terus setia bersama Anwar.- SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button