Nasionalpilihan

Selesaikan aduan rakyat dalam tempoh dua minggu – Ab. Rauf

Semua agensi kerajaan diarahkan untuk menyelesaikan semua aduan rakyat yang dibuat pada program Hari Bertemu Rakyat (Open Day)di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini diselesaikan dalam tempoh dua minggu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, walaupun tidak semua masalah rakyat yang dikemukakan dapat diselesaikan dengan segera, namun selepas tempoh itu pihak pengadu akan mendapat jawapan tentang aduan mereka.

Menurutnya, semua aduan yang diterima akan diteliti dan dibawa dalam mesyuarat serta dalam tempoh ditetapkan pengadu perlu mendapat jawapan.

“Penyelesaian ada dua, satu boleh diselesaikan dan satu tidak boleh diselesaikan, tetapi mereka tetap mendapat keputusan selepas dua minggu secara bertulis.

“Saya lihat harapan rakyat Melaka datang ke sini (Hari Bertemu Rakyat Open Day) begitu tinggi kerana ada antara mereka yang telah cuba berkali-kali buat temu janji dengan wakil rakyat tetapi tak dapat.

“Saya berada di kaunter mendengar sendiri masalah rakyat mendapati memang harapan mereka sangat tinggi agar masalah yang dikemukakan dapat diselesaikan segara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Jun 2023 dan Program Hari Bertemu Rakyat (Open Day) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Program yang julung-julung kali diadakan itu melibatkan 67 agensi serta dihadiri semua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan timbalannya yang membuka kaunter masing-masing bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Ab. Rauf berkata, program yang akan diadakan setiap bulan itu adalah usaha untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri yang dinamik dan progresif terutama dalam menyelesaikan masalah rakyat dengan kadar segera.

Menurutnya, semua agensi terlibat akan mengumpulkan semua masalah tersebut serta diasingkan mengikut jabatan serta keperluan pejabat daerah termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Ini akan menjadi penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada semua jabatan dalam menyelesaikan isu rakyat,” ujarnya. – SM

(Visited 33 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button