JenayahNasionalNegeri

Rumah kemudi simpan 8,000 liter diesel bernilai RM16,000 untuk diseludup

LAGI taktik penyeludup minyak diesel apabila menggunakan “rumah kemudi” yang dianggap sebagai biasa kerana ia memang ada pada setiap bot.

Tapi di sebalik itu “rumah kemudi” berkenaan rupa-rupanya telah diubahsuai oleh penyeludup untuk menjadika ia sebagai tempat yang boleh diletakkan minyak diesel bagi tujuan untuk diseludup ke negara jiran.

Tiga nelayan tempatan yang ditahan dalam cubaan seludup diesel ke negara jiran. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis.

Perkara ini terbongkar setelah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP) menahan sebuah bot nelayan Kelas C dengan nombor pendaftaran KF 2420 di perairan Kuala Perlis, Perlis pada pukul 8.13 malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, tangkapan itu adalah hasil maklumat risikan dan intipan yang dilakukan oleh Unit Risik ZMKP.

“Bot nelayan kelas C tersebut ditahan pada kedudukan lebih kurang 1.2 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis, ketika bot ronda Maritim Malaysia sedang dalam rondaan Op Aman,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, bot terbabit dikendalikan oleh tekong dan dua awak-awak yang kesemuanya warga tempatan berumur antara 22 hingga 38 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot mendapati, bot tersebut telah diubahsuai dengan menambah ruang tangki minyak di bawah rumah kemudi yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

Bot yang ditahan dalam cubaan seludup diesel ke negara jiran. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis.

Katanya, anggaran nilai minyak diesel yang dirampas adalah sebanyak 8,000 liter bernilai RM16,000.

Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah bot, enjin, dan minyak diesel sekitar RM216,000.

Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana mengubahsuai tangki minyak tambahan tanpa kebenaran dan melanggar syarat sah lesen dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak diesel bersubsidi.

“Bot, hasil tangkapan dan kesemua mereka, tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dan persatuan-persatuan nelayan diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan aktiviti penyeludupan yang berlaku bagi membanteras penyeludupan minyak diesel bersubsidi.

Sebarang aduan di perairan Perlis, boleh disalurkan ke talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi ZMKP 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

(Visited 207 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button