Nasional

Sarawak berjaya kurangkan jumlah penduduk setinggan

Pendekatan Jabatan Tanah dan Ukur Sarawak menyediakan lot tanah untuk penduduk setinggan berjaya mengurangkan jumlah penduduk kawasan berkenaan daripada 9,760 orang pada 2010 kepada 4,285 orang pada tahun ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak negeri, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata daripada jumlah itu, 2,307 daripada mereka telah dibantu untuk berpindah.

Jabatan berkenaan membantu menyediakan lot-lot tanah untuk golongan yang tinggal di kawasan setinggan membina rumah yang lebih sempurna di kawasan yang lebih sesuai, katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Menangani Isu Kemiskinan Bandar di Sarawak di sini, pada Rabu.

Beliau berkata jawatankuasa itu masih lagi mengguna pakai lapan cadangan yang dikemukakan menerusi Kajian Kemiskinan Bandar Sarawak 2013 yang termasuk pewujudan pangkalan data golongan miskin bandar, skim-skim bantuan perumahan dan peningkatan kemahiran.

Beliau berkata pangkalan data berkaitan statistik golongan miskin bandar yang terkini dan bersepadu juga diperlukan memandangkan sesetengah data yang dimiliki oleh agensi-agensi tertentu tidak menyeluruh.

Data-data ini katanya, boleh dijadikan sebagai sumber rujukan bagi membuat dasar yang boleh membantu perancangan bandar, pendidikan dan penyediaan peluang pekerjaan kepada golongan tersebut.

“Kalau kita bercakap berkaitan miskin bandar ini, kita ambil semua maklumat daripada (pertubuhan) badan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan, (senarai) eKasih yang kita gabung jalinkan dan pastikan menjadi satu data yang sahih, tidak bertindih dan mempunyai kredibiliti.

“Penglibatan pekerja sosial yang profesional juga diperlukan dalam mengenal pasti dan seterusnya membantu menangani isu-isu lain yang timbul daripada rantaian masalah kemiskinan bandar ini dengan melibatkan mereka dalam usaha menukar keyakinan diri, corak pemikiran dan sikap golongan ini,” katanya

Peningkatan migrasi penduduk luar bandar ke bandar yang memiliki kemahiran pembangunan diri yang rendah menjadi antara punca kepada wujudnya populasi miskin bandar di Sarawak.- BERNAMA

(Visited 185 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button