Parlimen

Kesinambungan PPN diperinci dalam RMK-12, Bajet 2022

KESINAMBUNGAN Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan diperincikan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan Bajet 2022.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Moha Yassin berkata, RMK-12 akan dibentangkan pada 20 September dan Bajet 2022 pada 29 Oktober di Dewan Rakyat.

“Secara keseluruhan, PPN ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan untuk memberi tumpuan kepada pembukaan semula ekonomi dan aktiviti sosial secara teratur dan berperingkat.

“Kesinambungan PPN dan langkah-langkah pemulihan ekonomi lain akan diperincikan semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 dan Bajet 2022,” katanya dalam penerangan berkenaan Pelan Pemulihan Negara di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau, Bajet 2022 akan menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu agenda memacu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan.

Tumpuan khusus akan diberikan kepada usaha untuk memulihkan sektor terjejas seperti pelancongan, meningkatkan keupayaan sistem kesihatan awam.

Turut diberikan tumpuan adalah skop perlindungan sosial dan merancakkan ekonomi digital dalam usaha mengukuhkan daya saing negara dalam menghadapi norma baharu global.

“Insha-Allah, Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan buat pertama kalinya akan menerbitkan kenyataan Pra-Bajet atau dengan izin pre-budget statement termasuk dokumen konsultasi rakyat mengenai tumpuan dasar pada bulan Ogos nanti selaras dengan usaha meningkatkan ketelusan proses serta penglibatan rakyat dalam penyediaan Bajet tahunan,” katanya.

Selain itu, sebagai elemen utama penyampaian maklumat mengenai pelaksanaan PPN kepada masyarakat awam sebuah portal Pelan Pemulihan Negara dibangunkan.

Portal berkenaan akan menjadi pusat rujukan sehenti yang memaparkan indikator-indikator terkini serta maklumat berkaitan PPN, manfaat dan juga prosedur operasi standard terkini dengan cara yang lebih mesra pengguna.-SM

(Visited 57 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button