Nasional

Jangan salahkan sekolah, guru jika ada kes Covid-19

DI Malaysia terdapat 416,743 orang guru yang mengajar di 10,220 sekolah, kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Negeri Selangor, Isham Jalil, semalam.

isham
ISHAM JALIL

Katanya, jumlah keseluruhan murid di Malaysia adalah 4,987,401 orang. Oleh itu secara purata nisbah guru kepada murid adalah 1:12 atau seorang guru untuk 12 orang murid.

Nisbah ini nampaknya kecil, ujar Isham, namun ia sebenarnya tidak seimbang mengikut kawasan di mana bilangan murid di kawasan-kawasan bandar adalah jauh lebih besar untuk seorang guru berbanding di kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman yang walaupun mempunyai murid yang tidak ramai tetapi guru tetap diperlukan untuk memberi pendidikan.

Kata Isham lagi, guru terdiri daripada satu per empat atau 26 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam.

“Oleh itu mereka adalah golongan terbesar dan paling terkesan dengan dasar-dasar kerajaan terutamanya yang melibatkan penjawat awam,” katanya.

Dalam krisis Covid-19 ini, guru juga adalah salah satu kumpulan yang tergolong dalam front-liners atau benteng hadapan, katanya.

Apabila kerajaan membuat keputusan untuk membuka sekolah dalam tempoh wabak Covid-19, guru dipertanggungjawabkan untuk memastikan yang beratus ribu murid mematuhi SOP dan mengelakkan jangkitan kepada murid.

Di samping meletakkan diri mereka sendiri berhadapan dengan risiko jangkitan Covid-19 yang tinggi di sekolah berbanding di rumah, kata Isham.

“Semasa zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan dahulu, kerajaan PH pernah mencadangkan untuk mengurangkan bilangan penjawat awam yang dikatakan “membebankan”.

“Ada cadangan yang menyatakan bahawa bilangan penjawat awam perlu dikurangkan sehingga kepada hanya 400 ribu.

“Ini bermakna seramai 1.2 juta penjawat awam yang kebanyakannya terdiri daripada guru, doktor, jururawat, polis, tentera dan lain-lain akan dikurangkan,” katanya.

Pada hemat Isham, beliau telah tidak setuju dan menentang cadangan tersebut.

Beliau berkata, kini terlintas di fikirannya, apa akan jadi kepada negara dalam wabak Covid-19 ini sekiranya cadangan kerajaan PH dahulu diteruskan dengan 75% penjawat awam dibuang kerja sebelum wabak Covid-19 dan tinggal 400,000 orang sahaja apabila wabak melanda?

“Ramai juga menteri yang ada dalam kerajaan PH dahulu masih ada dalam kerajaan PN sekarang. Saya harap dasar-dasar mereka tidak akan terus menyusahkan guru-guru dan penjawat awam. Penjawat awam (termasuk guru) bertungkus lumus untuk melaksanakan dasar kerajaan,” jelas Isham.

Isham berkata, sebelum ini kerajaan menyatakan bahawa sekolah akan dikompaun jika ada kluster baru.

“Pada hemat saya dasar ini tidak betul kerana sepatutnya sekolah tidak patut pun dibuka di kala wabak Covid-19 belum reda.

“Kerajaan tidak boleh semata-mata salahkan sekolah (dan guru) jika ada kes Covid-19 apabila mereka (kerajaan) yang sepatutnya boleh memikirkan (within contemplation) yang pembukaan sekolah dengan beratus ribu murid dari segenap kawasan perumahan diarah berada di satu kawasan tertutup akan meningkatkan kebarangkalian jangkitan.

“Sebelum ini saya pernah kata jangan salahkan rakyat jika dasar kerajaan tidak betul. Di sini saya sarankan juga supaya pemimpin kerajaan tidak menyalahkan penjawat awam (dan guru) jika dasar kerajaan tidak betul.

“Sebaliknya, bantulah penjawat awam untuk laksanakan tugas mereka dan pada masa yang sama lindungi mereka daripada musibah dan kebahayaan,” kata Isham. – SM

(Visited 120 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button