Nasional

Kongsi rezeki, Masyarakat Koh Yao, Satun bersyukur

Masyarakat Koh Yao, Satun di Thailand iaitu pulau berpenghuni yang paling dekat dengan Kuala Perlis melahirkan rasa syukur atas inisiatif sumbangan bantuan berkongsi rezeki yang disumbangkan kepada 134 buah keluarga penduduk di pulau berkenaan.

Sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) beberapa syarikat dan organisasi rakan strategik melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis itu telah diserahkan melalui kerjasama pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Pelepasan sumbangan tersebut disempurnakan sendiri oleh Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang saban tahun sebelum ini berkenan berangkat menyampaikan sumbangan di pulau ini khususnya pada bulan Ramadan di perkarangan Projek DiRaja Program Transformasi Komuniti Pekan Lama Arau sebelum Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Demikian menurut siaran media MAIPs.

Turut hadir mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Ahli MAIPs, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Kamarudin Hussin.


Ketua Penyelaras Program sumbangan itu, Datuk Zull Aznam Haron berkata, hubungan erat antara Istana Perlis serta masyarakat negeri ini dengan penduduk Koh Yao yang dikenali sebagai Pulau Panjang di kalangan penduduk tempatan mempunyai sejarah panjang antara dua negara berjiran, apatah lagi sebahagian penduduk di sana mempunyai hubungan kekeluargaan dengan penduduk di Perlis dan utara Kedah.

Koh Yao adalah salah sebuah pulau kecil di perairan Muang Satun di Selatan Thailand yang boleh diakses melalui pelabuhan Thamalang di Satun ataupun dari Kuala Perlis.

Penduduk di situ adalah seramai 900 orang dari 134 keluarga keturunan Melayu Islam yang banyak bergantung hidup sebagai nelayan dan sejak dunia dilanda pandemik Covid-19 tahun lalu, Alhamdulillah belum dilaporkan ada sebarang kes positif lagi di pulau ini.

Terdapat kemudahan asas seperti bekalan elektirk dan air. Ianya juga mempunyai sebuah masjid, sekolah rendah dan klinik kesihatan. Penggerak utama masyarakat di Koh Yao adalah Che Ad Kun Pichak atau lebih dikenali sebagai Kamnan Salem yang aktif bergerak memajukan masyarakat Melayu Islam di sana.

(Visited 109 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button