Politik

Salahkah Hannah Yeoh tanya status pelan kahwin bawah umur?

BEKAS Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mempertahankan tindakan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Hannah Yeoh mengenai isu pelan perkahwinan bagi pasangan bawah umur.

Wan Azizah yang juga Menteri KPWKM berkata, Hannah sebagai timbalan menteri turut merangka Pelan Strategi Menangani Perkahwinan Bawah Umur yang dilancarkannya pada 16 Januari 2020 berhak untuk bertanya status pelan tersebut.

“Justeru adakah salah bagi Hannah menanyakan mengenai status dan kemajuan pelan tersebut kepada Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff selaku Timbalan Menteri KPWKM, memandangkan Kelantan juga salah sebuah negeri yang telah menolak usaha menaikkan had umur perkahwinan ini.

“Oleh itu saya menggesa pihak berkuasa untuk berlaku adil, dan mengingatkan Putrajaya agar tidak melakukan intimidasi politik terhadap Ahli-Ahli Parlimen yang menjalankan tugas mereka menyuarakan isu rakyat,” kata Wan Azizah.

Jelas Wan Azizah Pelan Strategi Menangani Perkahwinan Bawah Umur dilancarkan rentetan daripada kesukaran mencari penyelesaian isu tersebut kerana urusan perkahwinan warga muslim berada dalam bidang kuasa Negeri.

Tujuh negeri iaitu Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan Kedah dan termasuk Kelantan telah menyatakan tidak bersetuju dengan draf membabitkan pindaan Akta Undang-Indang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) dengan menetapkan umur minimum perkahwinan wanita kepada 18 tahun.

Wan Azizah berkata demikian selepas Ahli Parlimen Segambut dari DAP itu dipanggil oleh pihak polis ke Bukit Aman untuk disoal siasat berkenaan tulisan di Twitternya pada Mac lalu.

Dalam tweet berkenaan; Hannah mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur selepas Ahli Parlimen Pas dilantik ke jawatan timbalan menteri di KPWKM.

“What will happen to our national road map to fight child marriage with the appointment of MP from PAS as deputy minister of KPWKM?” ciap Hannah.

BACA Media sosial penuh dengan spin tuduh DAP anti-Islam, kata Hannah

Laporan media menyebut, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata, Hannah disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mereka yang didapati bersalah di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang menimbulkan khianat awam boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya. – SM

 

(Visited 320 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button