Politik

RM2 juta diperuntuk bagi Projek Mesra Rakyat di Port Dickson tahun lepas – Anwar

SEBANYAK RM2 juta telah diperuntukkan bagi Projek Mesra Rakyat melibatkan 61 projek di Port Dickson sepanjang tahun lepas, kata Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata peruntukan itu melibatkan 17 projek kerja-kerja menaik taraf gelanggang sukan, 15 projek membina dan menaik taraf sistem perparitan serta 13 projek menaik taraf dan membina kemudahan asas seperti tempat letak kereta dan baik pulih bangunan.

“Selain itu, projek menaik taraf jalan-jalan kampung dan membina jalan baharu melibatkan sembilan projek manakala kerja-kerja menaik taraf balai raya dan dewan orang ramai melibatkan tujuh projek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata sejak memikul mandat sebagai Ahli Parlimen Port Dickson, pelbagai usaha telah berjaya dilaksanakan untuk kepentingan rakyat keseluruhannya.

Beliau berkata antara pencapaian yang diperoleh termasuk pelancaran projek pembangunan Lexis Hibiscus 2 bagi meningkatkan potensi lokasi pelancongan selain mampu mewujudkan peluang pekerjaan buat warga tempatan.

“Pencapaian-pencapaian lain termasuk menempatkan dua buah sekolah di Port Dickson sebagai sekolah angkat oleh syarikat gergasi Jepun NEC (NEC Corporation), inisiatif pembersihan pantai dan menaik taraf jeti nelayan serta kawasan ternakan kupang,” katanya.

Anwar berkata beliau akan terus memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap beberapa fokus antaranya berkaitan isu perumahan, pendidikan, pembangunan desa dan peluang pekerjaan.

“Antara yang disasarkan termasuk mewujudkan sistem perkhidmatan awam yang lebih efisien serta pembinaan rumah mampu milik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata perkara ini tidak dapat dilaksanakan tanpa khidmat cemerlang semua pihak antaranya penjawat awam, jentera parti politik, masyarakat setempat serta badan bukan kerajaan (NGO). – BERNAMA

(Visited 448 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button